ALOR SETAR - Keluarga kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun, Muhammad Harraz Aryan Mohd Hafizi yang meninggal dunia selepas ditinggalkan dalam kereta di sebuah tadika di Taman Ria, Sungai Petani, dekat sini pada Selasa reda dengan kejadian berkenaan.
Ibunya, Nor Azira Abdul Halim, 36, mengakui terkejut menerima berita kejadian yang menimpa anak bongsu daripada dua beradik itu daripada gurunya kira-kira jam 12.25 tengah hari.
"Saya tahu ALLAH SWT lebih menyayanginya dan meminjamkannya hanya sekejap untuk mereka sekeluarga.
"Pada mulanya, saya ingat anak terlibat dalam kemalangan kerana tadika berkenaan terletak berdekatan dengan jalan raya sebelum dimaklumkan Muhammad Harraz tidak sedarkan diri.
"Ketika itu, saya masih tidak tahu kejadian itu dan bergegas pulang ke Sungai Petani dari tempat kerja di bangunan Komtar, Pulau Pinang," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) pada Rabu.
ARTIKEL BERKAITAN Kanak-kanak meninggal dunia ditinggalkan empat jam dalam kereta
Nor Azira berkata, dia memaklumkan kejadian kepada suami, Mohd Hafizi Husin, 36, yang bertugas sebagai anggota tentera di Kem Tentera Sungai Petani supaya bergegas melihat keadaan anak mereka dengan segera.
Katanya, dia berdoa tanpa henti supaya anak bongsunya itu selamat dan tidak berlaku kejadian tidak diingini sepanjang perjalanan pulang.
Bagaimanapun menurutnya dia menerima panggilan suaminya yang memaklumkan supaya terus ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani untuk melihat keadaan anak mereka.
Katanya, dia terkejut apabila melihat jasad anaknya yang sudah tidak bernyawa, malah nalurinya merasakan Muhammad Harraz seolah-olah menahan kesakitan sebelum menghembuskan nafas terakhir.
Katanya, anak lelakinya merupakan kanak-kanak yang ceria di rumah mereka tidak menunjukkan perubahan sebelum berlaku kejadian tersebut.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun 11 bulan ditemui tidak sedarkan diri selepas empat jam ditinggalkan dalam sebuah kereta di sebuah tadika pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, hasil maklumat awal, mangsa dan seorang kanak-kanak lain diambil pengetua sekolah kira-kira jam 7.45 pagi.
Katanya, mangsa berada dalam keadaan pintu dan cermin tertutup serta tiada ruang pengudaraan antara jam 8 pagi hingga 12.15 pagi.
Menurutnya, ketika pengetua ingin menghantar mangsa pulang ke rumah didapati kanak-kanak tiada dalam kelas dan dimaklumkan tidak hadir.
Tambah beliau, pengetua terus menuju ke arah kereta miliknya yang diletakkan di tepi jalan berhampiran dan mangsa didapati dalam keadaan terbaring tidak sedarkan diri.
Susulan itu, katanya, pengetua tadika berusia 49 tahun ditahan reman selama tiga hari bagi membantu siasatan kematian kanak-kanak berkenaan.
ARTIKEL BERKAITAN Budak maut dalam kereta: Pengetua tadika ditahan