SHAH ALAM - Bank Rakyat melancarkan platform perkhidmatan perbankan digital, Quick Response to Entrepreneur (QR2E) khusus untuk golongan usahawan.
Bank Rakyat memaklumkan, QR2E merupakan satu lagi inisiatif terbaharunya dalam membudayakan keusahawanan serta membantu komuniti yang kurang dan tidak mendapat perhatian untuk menceburi sektor keusahawanan.
"Berkonsepkan mesra pengguna, QR2E merupakan medium untuk Bank Rakyat mendekati usahawan di seluruh negara tanpa sempadan secara komprehensif, mudah dan cepat.
"Menjadikan usahawan mikro, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta koperasi sebagai sasaran utama penggunanya, QR2E dibangunkan bagi memudahkan mereka mendapatkan khidmat nasihat dari aspek kewangan serta pengurusan perniagaan,” kata Bank Rakyat dalam satu kenyataan pada Rabu.
Bank Rakyat berkata, seiring dengan era digitalisasi, Bank Rakyat sentiasa progresif dalam memanfaatkan teknologi bagi memastikan bank berkenaan terus kekal relevan serta lestari bagi memenuhi keperluan perbankan Islam milenial.
Sementara itu, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, inisiatif berkenaan merupakan salah satu pendorong dalam mencapai matlamat menjadi negara keusahawanan sepenuhnya menjelang tahun 2030 selaras dengan aspirasi Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN2030).
"Ia sekali gus menjadikan industri PKS sebagai penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Inisiatif ini juga selaras dengan aspirasi Rangka Tindakan Digitalisasi yang terkandung dalam Pelan Strategik Bank Rakyat 2025 (BR25).
"Kita melihat pembinaan QR2E ini amat bersesuaian dengan kehendak situasi masa kini serta penerapan norma baharu apabila segalanya di hujung jari pelanggan tanpa perlu hadir secara fizikal.
"Lebih menarik lagi apabila pelanggan boleh memohon pembiayaan serta membuat janji temu di lokasi yang dipilih oleh pelanggan,” katanya.
Bagi pelanggan yang ingin mendapatkan khidmat SMEC secara maya, anda hanya perlu mengimbas kod QR2E atau layari pautan https://Qr2e.bankrakyat.com.my.