Kerajaan sedia RM500 juta pembiayaan mikro kredit

Iklan
Skim Pembiayaan Perniagaan Prihatin Mikro akan dilaksanakan dengan keutamaan untuk membantu 1,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro bumiputera untuk meneruskan kelangsungan perniagaan. - Foto Bernama

SHAH ALAM - Kerajaan menyediakan dana pembiayaan tambahan sebanyak RM500 juta bagi kemudahan pembiayaan mikro kredit.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pembiayaan tersebut akan disalurkan melalui program-program di bawah Bank Simpanan Nasional (BSN), Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Nasional, Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan SME Corp.

Iklan
Iklan

"Melalui BSN, dana sebanyak RM300 juta akan disediakan dengan had pembiayaan sehingga RM50,000, di mana kadar faedah dikurangkan daripada 3.5 peratus kepada tiga peratus.

"Tempoh pinjaman adalah untuk lima tahun dan bayaran ansuran hanya bermula selepas bulan keenam,” katanya dalam siaran langsung pengumuman khas Pemerkasa pada Rabu.

Iklan

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, Tekun Nasional pula akan menyediakan dana tambahan sebanyak RM60 juta terutamanya untuk Skim Pembiayaan Informal dengan had pembiayaan sehingga RM5,000 bagi perniagaan secara kecil-kecilan daripada rumah, pasar malam dan pasar tamu.

"Selain itu, program Tekun Mobilepreneur akan diperluaskan untuk pembiayaan membaik pulih atau membeli motosikal baharu dengan had sehingga RM10,000.

Iklan

"Bagi melengkapi inisiatif ini, motosikal pemasangan tempatan dengan kapasiti enjin 150cc dan ke bawah akan diberi pengecualian 100 peratus duti eksais mulai 1 April hingga 31 Disember ini.

"Tekun juga akan memperkenalkan program Tekun POS-preneur di mana pemohon dapat menjana pendapatan melalui kontrak penghantaran barangan,” katanya.

Melalui Mara pula, beliau berkata, Skim Pembiayaan Perniagaan Prihatin Mikro akan dilaksanakan dengan keutamaan untuk membantu 1,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro bumiputera untuk meneruskan kelangsungan perniagaan.

"Sebanyak RM50 juta disediakan dengan nilai pembiayaan sehingga RM50,000 pada kadar faedah serendah tiga peratus.

"Di samping itu, SME Corp pula akan menyediakan RM50 juta untuk membantu PKS tempatan mendapatkan pembiayaan sehingga RM250,000 pada kadar faedah juga serendah tiga peratus,” katanya.

Muhyiddin pada Rabu mengumumkan Pemerkasa dengan lima fokus utama melibatkan 20 inisiatif bagi pemulihan serta pemerkasaan negara sepanjang tahun ini.

Lima fokus utama itu adalah mengawal penularan Covid-19, memacu pemulihan ekonomi, memperkukuh daya saing negara, melaksanakan agenda keterangkuman wilayah dan masyarakat dan mentransformasi ekonomi.