PUTRAJAYA – Seorang penganggur dihukum penjara 30 tahun dan lapan sebatan oleh Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak, di sini selepas mengaku bersalah merogol dan melakukan kesalahan seksual fizikal terhadap anak teman wanitanya berumur 13 tahun sehingga mangsa melahirkan bayi perempuan.
Hakim Yong Zarida Sazali menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun dengan empat sebatan terhadap lelaki yang berumur 56 tahun itu bagi kesalahan merogol dan 10 tahun dengan dua sebatan bagi setiap dua pertuduhan seksual fizikal.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara 10 tahun bagi dua kesalahan seksual fizikal itu berjalan serentak dan tertuduh diarahkan menjalani hukuman penjara 20 tahun bermula dari tarikh tangkap pada 25 Julai 2018 manakala penjara 10 tahun itu berkuatkuasa selepas dia selesai menjalani hukuman penjara 20 tahun.
Mahkamah menjatuhkan hukuman itu semalam selepas tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah pada hari pertama perbicaraannya. Kanak-kanak itu yang masih dalam keadaan berpantang juga hadir ke mahkamah dan bersedia untuk memberi keterangan.
Mengikut fakta kes tertuduh melakukan perbuatan itu semasa ibu mangsa tiada di rumah dan mangsa yang tinggal bersama tertuduh sejak berumur enam tahun takut untuk memberitahu kejadian itu kepada ibunya kerana tertuduh mengugutnya.
Akibat tidak tertahan dengan serangan seksual oleh tertuduh, mangsa sendiri telah membuat laporan polis pada 25 Julai 2018, secara bersembunyi di balai polis kerana takut dipukul atau diugut oleh tertuduh dan tertuduh ditangkap polis pada hari sama.
Mangsa juga dibawa ke Hospital Kuala Lumpur pada Julai 2018 dan disahkan hamil 11 minggu dan kanak-kanak itu melahirkan bayi perempuan pada Jan 2019.
Tertuduh didakwa merogol kanak-kanak itu di sebuah rumah di Chow Kit, Kuala Lumpur, pada 11 malam, 27 Mac, 2018 mengikut Seksyen 376(2) (d) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan hendaklah juga dikenakan sebat.
Lelaki itu dituduh melakukan kedua-dua kesalahan seksual fizikal terhadap mangsa di tempat sama pada waktu malam pada 15 Jun 2018 dan 19 Jun 2018 mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat.
Timbalan Pendakwa Raya Noor Jazilah Mohd Yushaa memohon hukuman setimpal kerana kesalahan tertuduh sangat serius sehingga mangsa melahirkan anak dan perbuatannya meninggalkan kesan trauma terhadap mangsa manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan. - Bernama