Bantuan RM3,000 kepada agensi pelancongan berdaftar

Iklan
Geran Bantuan Khas sebanyak RM3,000 akan disalurkan kepada agensi pelancongan yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC).

SHAH ALAM - Kerajaan bakal menyalurkan Geran Bantuan Khas secara ‘one-off’ sebanyak RM3,000 kepada lebih 5,000 agensi pelancongan yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC).

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan turut menyediakan bantuan tunai secara ‘one-off’ sebanyak RM600 kepada pengusaha ‘homestay’ yang berdaftar dengan MOTAC.

Iklan
Iklan

"Bantuan ini dijangkakan dapat memanfaatkan lebih 4,000 tuan rumah atau pengusaha Program Pengalaman Homestay,” katanya dalam siaran langsung pengumuman khas Pemerkasa pada Rabu.

Bagi mengurangkan beban dan menyokong pemulihan sektor berkenaan, Muhyiddin menjelaskan, kerajaan turut melaksanakan beberapa inisiatif lain termasuk melanjutkan pengecualian cukai pelancongan dan cukai perkhidmatan ke atas penginapan sehingga 31 Disember ini.

Iklan

"Selain itu, kerajaan juga akan melanjutkan galakan cukai kepada syarikat pengendali pelancongan sehingga tahun taksiran 2022 dan membenarkan penangguhan pembayaran ansuran cukai pendapatan bulanan mulai 1 April hingga 31 Disember ini kepada syarikat industri pelancongan serta industri terpilih seperti panggung wayang dan spa.

"Memberi pengecualian duti hiburan ke atas bayaran kemasukan ke tempat hiburan seperti taman tema, persembahan pentas, acara sukan dan pertandingan serta tayangan filem pawagam di semua Wilayah Persekutuan.

Iklan

"Memperluas skop pelepasan khas cukai pendapatan individu sehingga RM1,000 untuk meliputi perbelanjaan pembelian pakej pelancongan melalui ejen pelancongan yang berdaftar dengan MOTAC,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, kerajaan turut memberi pengecualian levi Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) kepada syarikat sektor pelancongan dan peruncitan yang terjejas untuk tempoh sehingga Jun ini.

"Saya percaya, sedikit masa lagi apabila sudah ramai antara kita telah mengambil vaksin, kerajaan sedia untuk membenarkan pergerakan rentas negeri secara berperingkat malah mewujudkan ‘special green lane’ bagi perjalanan sempadan yang melibatkan pengangkutan udara.

"Berikan sedikit masa dan ruang untuk pihak kerajaan meneliti segala risiko sebelum sesuatu keputusan diambil,” ujarnya.