'Golongan muda gemar kenderaan klon'

Iklan
Hanif Yusabra (kiri) memeriksa nombor casis di salah sebuah kenderaan yang disita.

KOTA BHARU - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Kelantan menyita 157 kenderaan klon dalam tempoh lima tahun bermula 2016 sehingga Mac 2021.

Pengarah JPJ Kelantan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, hal ini kerana permintaan terhadap kenderaan klon di negeri ini sentiasa ada memandangkan terdapat peminatnya yang tersendiri.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sepanjang Januari hingga Mac tahun ini terdapat lapan kenderaan klon yang telah disita termasuk kereta mewah.

"Didapati kenderaan kompak jenis Honda Jazz yang diklon lebih diminati kerana dijual lebih murah berbanding harga pasaran. Ia boleh dibeli dengan harga serendah RM5,000 berbanding harga asal RM85,000.

Iklan

"Kita dapati kenderaan klon amat digemari oleh golongan muda berusia antara 25 hingga 45 tahun. Malah terdapat sindiket yang menggunakan rekod kenderaan kemalangan (total loss) terhadap kenderaan klon dan ini membahayakan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di JPJ Kelantan di Panji pada Rabu.

Hanif Yusabra berkata, pembelian kereta klon juga didapati amat mudah memandangkan terdapat pihak tertentu yang melakukan tawaran urus niaga menerusi facebook mahupun aplikasi telegram.

Iklan

"Penjual ini menggunakan media sosial untuk mencari pembeli dengan membuat tawaran harga sangat murah dan individu tidak mempunyai sebarang maklumat berkaitan kereta klon akan mudah terpedaya serta sanggup membelinya.

"Walaupun mereka membuat tawaran secara terbuka, JPJ Kelantan berterusan mengesan dan melakukan operasi serta risikan kerana tindakan sebegini boleh mengundang bahaya dan kerugian besar kepada pelbagai pihak," katanya.

Dalam pada itu, Hanif Yusabra turut memaklumkan, kebanyakan individu yang ditahan itu memberikan alasan bahawa tidak mengetahui kenderaan berkenaan diklon dan ada juga sudah menyedarinya.

"Saya ingin menasihatkan pengguna untuk tidak mudah terpedaya dengan tawaran harga tidak masuk akal dan sekiranya terdapat kemusykilan boleh merujuk kepada JPJ," katanya.