Proses siasatan Anwar berdasarkan laporan polis: KPN

Iklan
Anwar Ibrahim

SHAH ALAM - Proses siasatan terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijalankan berdasarkan laporan polis yang dibuat oleh satu pihak.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, dakwaan bahawa beliau mengarahkan Anwar ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Bukit Aman adalah tidak benar.

Iklan
Iklan

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung kes Anwar dipanggil ke IPD Bukit Aman berikutan kenyataan yang dibuat oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.

"Apabila seseorang pemimpin tak kira politik ke individu membuat kenyataan yang mempunyai kesan yang luas, menyebabkan satu pihak rasa tergugat, satu pihak rasa gusar lepas itu pihak tersebut membuat laporan polis.

Iklan

"Apabila laporan polis dibuat, kita dapati ada unsur-unsur di situ yang menyalahi dengan satu bentuk kesalahan, jadi kertas siasatan dibuka.

"Sama ada salah atau tidak, biarlah orang yang yang didakwa sebagai pemulanya dipanggil ke Bukit Aman untuk dirakam kenyataan,” katanya pada program Sinar Live bersama KPN, Tan Sri Abdul Hamid Bador yang dikendalikan oleh Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaafar di Karangkraf pada Rabu.

Abdul Hamid (kanan) pada Program Bersama KPN yang disiarkan menerusi platform Sinar Harian pada Rabu.

Iklan

Pada 16 Oktober tahun lalu, Anwar hadir ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman berhubung siasatan berkenaan penyebaran senarai nama 121 ahli Parlimen yang didakwa menyokong beliau.

Abdul Hamid turut mengulas isu mengenai bekas Senator, Mohamad Ezam Mohd Nor yang dipanggil ke IPD Bukit Aman pada Selasa.

Jelasnya, Mohammad Ezam dipanggil kerana terdapat laporan yang dibuat mendakwa kata-kata yang dikeluarkan bersifat ugutan.

Tegas Abdul Hamid, ada pihak yang menggambarkan proses siasatan polis sebagai proses kejam dan membuli orang.

"Polis menggunakan kuasa sewenang-wenangnya memanggil orang datang ke Bukit Aman seolah-olahnya mereka ke situ untuk digertak, diugut dan mungkin diseksa.

"Hakikatnya tidak begitu, pegawai penyiasat yang ada sekarang cukup profesional. Mereka (individu didakwa) datang untuk dirakam kenyataan, jawab soalan-soalan itu. Bawa peguam sekiranya mahu,” ujarnya.

Pada 2 Mac, Mohamad Ezam dalam perkongsian rakaman ceramahnya mendesak Abdul Hamid segera menyelesaikan kes berkaitan Jho Low dalam skandal syarikat 1Malaysia Development Berhad dan skandal video seks yang didakwa melibatkan Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.