'Cantik seperti musim bunga di luar negara'

Iklan
Pokok bunga Cat's Claw Creeper menjadi tarikan baharu pengunjung ke Taman Rekreasi Gunung Lang, Ipoh. Foto: Ihsan MBI

IPOH - Keindahan pokok bunga Cat's Claw Creeper yang menjalar membentuk kubah dan pintu gerbang bakal menjadi tarikan unik pengunjung ke Taman Rekreasi Gunung Lang di sini.

Pokok dengan nama saintifiknya Dolichandra Quadrivalvis itu mula mekar dengan mengeluarkan bunga berwarna kuning keemasan sejak Isnin lalu selepas ia ditanam oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) pada tahun 1999.

Iklan
Iklan

Pokok menjalar yang berasal dari kawasan hutan Amerika Latin dan Carribean itu merupakan satu-satunya spesies yang ditanam di pusat bandar ini.

Penolong Arkitek Landskap MBI, Noor Sauwiya Shari berkata, spesies istimewa itu sangat sukar untuk berbunga kerana memerlukan cuaca terlampau panas lazimnya pada pertengahan Mac setiap tahun.

Iklan

Pokok bunga Cat's Claw Creeper menjadi tarikan baharu pengunjung ke Taman Rekreasi Gunung Lang, Ipoh. Foto: Ihsan MBI

"Pokok ini pertama kali berbunga adalah pada tahun 2013 selepas 14 tahun ditanam oleh MBI kemudian tidak mengeluarkan bunga sehingga tahun 2017 lalu dan sejak itu ia berbunga mengikut keadaan cuaca.

Iklan

"Namun, tahun ini negara mengalami musim panas dan kali ini paling lebat sepanjang ia ditanam apabila semua pokok mengeluarkan bunganya serentak," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Rabu.

Menurutnya, rimbunan pokok menjalar di pondok-pondok taman berkenaan sesuai kepada pengunjung untuk merakam panorama indah seperti di musim bunga di luar negara.

"Jika pengunjung menaiki bot ke Gunung Lang, kecantikan bunga berwarna kekuningan akan jelas kelihatan dari dalam bot.

Pokok bunga Cat's Claw Creeper menjadi tarikan baharu pengunjung ke Taman Rekreasi Gunung Lang, Ipoh. Foto: Ihsan MBI

"Keunikan bunga ini akan menjadi daya penarik kepada bandar raya Ipoh untuk orang ramai melihat dan mengambil gambar," katanya.

Noor Sauwiya berkata, keindahan bunga Cat's Claw Creeper berbunga penuh turut bergantung kepada hujan.

"Ia berbunga di penghujung musim kemarau yang menandakan musim hujan akan tiba.

"Ketahanan bunga yang berkembang tidak lama apabila hujan, bunga-bunga ini akan mula berguguran," katanya.