Gergasi Merah rentap ego Harimau Selatan

Iklan
Ifedayo Olusegun meraikan jaringan Selangor FC ketika berkunjung ke Stadium Sultan Ibrahim menentang JDT pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri pada Rabu. - Foto Selangor FC

SELANGOR FC berjaya merentap ego juara Liga Super tujuh tahun berturut-turut Johor Darul Ta’zim (JDT), selepas mengikat gergasi bola sepak dari selatan tanah air itu dengan keputusan seri 1-1, pada aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri pada Rabu.

The Red Giants membuat kejutan dengan membuka tirai jaringan seawal minit ketujuh permainan, menerusi gol sepakan lencong di sebelah kiri penyerang import Ifedayo Olusegun yang menyempurnakan lorongan bola ke dalam kotak penalti dari tengah padang oleh pemain import baharu dari Switzerland, Oliver Buff.

Iklan
Iklan

Tersentak dengan jaringan pembukaan itu, JDT tidak memerlukan masa yang lama untuk bangkit menyamakan kedudukan menerusi penyerang import baharu dari Brazil Bergson Da Silva, selepas melepaskan rembatan padu hasil hantaran pendek dari sebelah kiri oleh Gonzalo Gabriel Cabrera pada minit ke-11.

JDT sepatutnya berada di depan pada minit ke-40 namun Cabrera gagal memanfaatkan penalti, selepas sepakannya hanya melewati palang gol susulan bentesan Mohamad Ashmawi Md Yakin menyebabkan pemain sayap Arif Aiman Mohd Hanapi, terjatuh di dalam kotak penalti.

Iklan

Bersambung babak kedua, skuad Harimau Selatan berpeluang untuk menambah jaringan menerusi satu lagi sepakan penalti, namun cubaan Da Silva berjaya diselamatkan Khairulazhan yang tenang menepis keluar tendangan itu dan menyaksikan kedudukan seri kekal sehingga wisel penamat dibunyikan.

Kedudukan itu menyaksikan JDT kekal di tangga teratas liga dengan mengutip 10 mata selepas empat perlawanan, manakala Selangor pula kekal di tangga kelima liga dengan kutipan lima mata.

Iklan

Aksi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras menyaksikan skuad Kuala Lumpur City FC tampil lebih ganas dengan mencatat kemenangan selesa 3-0 ke atas Perak FC, selepas sekadar seri menentang jiran tetangga, Selangor FC Sabtu lepas.

Pelawat dilihat mendominasi permainan pada babak pertama namun, satu serangan balas tuan rumah tidak disiakan-siakan penyerang import dari Mauritania Dominique Da Sylva, untuk meletakkan skuad The City Boys di depan pada minit ke-41 menerusi sepakan lencong yang menerjah ke sebelah kanan gawang gol pihak lawan.

Kesilapan pemain pertahanan Perak FC Muhammad Shakir Mazah, seminit selepas babak kedua bersambung, dihukum skuad bimbingan Bojan Hodark itu menerusi jaringan pemain tengah import dari Colombia Romel Morales.

Kemudian, Romel, yang tidak dikawal di sebelah kanan melepaskan rembatan leret ke sebelah kiri gawang lawan, bagi mencetak gol kedua peribadinya malam ini, hasil daripada hantaran dari tengah padang oleh kapten pasukan Paulo Josue, seterusnya membawa KL City FC menghuni tangga keempat liga dengan kutipan tujuh mata, manakala Perak berada di tangga kesepuluh liga dengan empat mata. - Bernama