SHAH ALAM - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bekerjasama dengan Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) untuk membantu pelajar asnaf yang sedang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT).
Pengerusinya, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, PTPTN telah memperuntukkan sebanyak RM148,000 melalui zakat PTPTN untuk membantu seramai 1,480 pelajar asnaf daripada 37 IPT di seluruh negara.
Menurutnya, setiap pelajar asnaf terlibat akan menerima RM100 seorang berupa simpanan dalam akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i).
"Usaha ini selaras dengan peranan PTPTN sebagai tabung pendidikan utama negara dan salah sebuah agensi di bawah Kementerian Pengajian Tinggi yang sentiasa cakna dengan keperluan pelajar IPT.
"PTPTN akan terus menunaikan tanggungjawab untuk menyantuni golongan asnaf menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan zakat korporat PTPTN,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Wan Saiful berkata, menerusi kerjasama tersebut, MPPK akan menyalurkan butiran pelajar asnaf yang terlibat kepada PTPTN berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada Bahagian Hal Ehwal Pelajar IPT masing-masing bagi memastikan sumbangan ini dapat disalurkan kepada pelajar yang layak.
"PTPTN memahami kesusahan yang dialami pelajar asnaf yang menuntut di IPT.
"Bantuan ini sedikit sebanyak dapat membantu pelajar meneruskan pengajian mereka,” katanya.
Beliau berkata, dengan pelbagai cabaran yang datang terutama pandemik Covid-19 yang masih belum reda dan situasi ekonomi yang melanda negara, beliau berharap agar pelajar dapat meneruskan pengajian dengan baik.
"Alhamdulillah, dengan kerjasama MPPK sebagai badan perwakilan pelajar yang menjaga kebajikan pelajar, PTPTN dapat merealisasikan hasrat untuk membantu golongan pelajar asnaf terlibat.
"Diharapkan pemberian sumbangan daripada PTPTN ini bukan sahaja dapat memberi manfaat kepada pelajar di IPT dan mengurangkan beban kewangan mereka yang memerlukan, malah mampu menyemai kesedaran penabungan serta mendidik literasi kewangan yang baik dalam kalangan pelajar,” kata Wan Saiful.
Sementara itu, Presiden MPKK, Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri berkata, MPPK berbesar hati dan berterima kasih kepada pihak PTPTN di atas inisiatif untuk membantu golongan asnaf dalam kalangan pelajar di IPT.
"Inisiatif ini adalah usaha yang baik terutamanya semasa negara dilanda Covid-19 kerana dapat membantu meringankan beban kewangan pelajar,” katanya.