KUANTAN - Kerajaan Pahang melalui Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) mengambil tindakan proaktif melalui pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di sepanjang laluan Kuantan Street Art di sini berikutan kes vandalisme di lokasi berkenaan baru-baru ini bagi mengelak kejadian berulang.
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, pemasangan CCTV itu juga bagi memastikan 36 karya seni yang dihasilkan pelukis tempatan terus kekal terpulihara.
Beliau berkata, kedudukan Kuantan Street Art yang berada di tengah pusat Bandaraya Kuantan dilihat berpotensi untuk menjadi daya tarikan dan ikon terbaharu negeri itu.
"Kerajaan Pahang dan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) memasang CCTV ini bagi memastikan tempat ini tidak dirosakkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Saya ingatkan kepada semua pengunjung bahawa tempat ini sentiasa dipantau.
"Jadi, jangan buat perkara tidak senonoh nanti tidak pasal-pasal tular pula. CCTV ini kita akan dipantau oleh bahagian keselamatan setiap masa," katanya pada sidang akhbar selepas meninjau Kuantan Street Art di sini pada malam Rabu.
Hadir sama, Exco Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin dan Setiausaha Majlis Bandaraya Kuantan, Datuk Hamiza Hamzah.
Pada 9 Mac lalu, Sinar Harian menyiarkan mengenai perbuatan vandalisme di kawasan tersebut selepas beberapa keping gambar tular di laman sosial Facebook rasmi MBK.
Perbuatan vandalisme oleh segelintir pengunjung itu menyebabkan kerosakan kepada beberapa aksesori tambahan mural di Kuantan Art Street.
ARTIKEL BERKAITAN: Kuantan Art Street dicemari vandalisme
Mohd Sharkar turut berharap orang ramai menghargai mural tiga dimensi (3D) dihasilkan 13 artis grafiti moden di sepanjang laluan kira-kira 700 meter itu.
Dalam pada itu, beliau berkata, dianggarkan kira-kira 50,000 pengunjung sudah melawat Kuantan Street Art sejak dibuka secara rasmi pada 21 Februari lalu.
Katanya, jumlah pengunjung dijangka terus meningkat berikutan langkah kerajaan untuk membenarkan semula aktiviti pelancongan menggunakan agensi pelancongan berdaftar dengan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
"Kalau kita tanya orang ramai mengenai destinasi pilihan mereka untuk melancong, kebanyakan akan menjawab negeri Pahang.
"Ini bermakna kita mempunyai kelebihan dan banyak lokasi yang menarik untuk dipilih pelancong (domestik).
"Saya percaya, Kuantan Street Art juga antara lokasi tumpuan dan boleh menjadi mercu tanda atau ikon pelancongan terbaharu di Pahang," katanya.