KUALA LUMPUR - Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) berharap lebih banyak institusi penjagaan kesihatan swasta termasuk pengamal perubatan swasta terlibat dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bagi membantu pelaksanaan program berkenaan.
Presidennya, Datuk Dr Kuljit Singh berkata, hanya beberapa hospital swasta yang terbabit dalam program imunisasi itu dan beberapa negeri seperti Melaka belum memulakan vaksinasi untuk kakitangan dan doktor hospital swasta, sebaliknya hanya dijadualkan pada akhir bulan ini atau Fasa 2.
"Beberapa hospital swasta di negeri itu merupakan penyumbang besar ekonomi kepada negara dan negeri dari segi pelancongan perubatan.
"Kami berharap program vaksinasi ini boleh dipertingkatkan di beberapa negeri termasuk pantai timur Semenanjung Malaysia,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Pada awal bulan ini, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin mengumumkan jumlah hospital swasta yang akan digunakan sebagai pusat vaksinasi untuk kakitangan penjagaan kesihatan swasta dalam Fasa 1 program imunisasi itu.
Memandangkan Malaysia akan beralih ke Fasa 2 program itu dalam 10 hari lagi, Dr Kuljit berkata, APHM berhasrat untuk memperkukuhkan kerjasama dengan kerajaan bagi memastikan proses vaksinasi dapat diselesaikan sebelum hujung tahun ini.
"Terdapat perbincangan dengan kerajaan mengenai pembayaran imbuhan untuk kos pemulihan di institusi penjagaan kesihatan swasta oleh kerajaan supaya ia tidak membebankan rakyat.
"Cadangan kami untuk membantu barisan hadapan ekonomi menerusi program vaksinasi swasta perlu diberi pertimbangan sewajarnya dan berharap ia dilaksanakan selepas kejayaan awal program vaksinasi awam menjelang pertengahan tahun atau selewat-lewatnya pada suku ketiga tahun ini, yang disasarkan untuk barisan hadapan ekonomi,” katanya. - Bernama