KUALA LUMPUR - Kadar bantuan untuk program tanam semula getah bagi tahun ini dinaikkan kepada RM13,710 sehektar bagi Semenanjung dan masing-masing RM14,955 dan RM14,805 bagi Sabah dan Sarawak, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad.
Beliau berkata, kerajaan juga bersetuju memberi peruntukan tambahan RM15.7 juta kepada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) untuk mengawal penyakit Pestalotiopsis tanaman getah.
Kadar baharu bantuan itu adalah selaras dengan pengenalan Model Perancangan Strategik Risda (MPSR) 2021-2025 yang dilancarkan pada Khamis yang bertujuan meningkatkan pendapatan pekebun kecil tanaman getah dan kemapanan industri getah.
"Kadar bantuan baharu ini kita harapkan dapat menarik minat pekebun getah untuk memanam semula tanaman ini. Kita lihat harga getah semakin baik ketika ini.
"Bantuan kawal penyakit tanaman getah pula akan memberi manfaat kepada seramai 8,043 pekebun kecil merangkumi kawasan seluas 15,282 hektar tanaman itu," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan MPSR 2021-2025 di sini pada Khamis.
Bagi tahun 2010-2020, kadar bantuan tanam semula getah adalah RM9,230 sehektar di Semenanjung serta RM13,500 (Sarawak) dan RM14,000 (Sabah).
Mengenai MPSR 2021-2025, Abd Latiff berkata, pelan itu disusun berlandaskan empat teras utama merangkumi 12 inisiatif dengan menyasarkan empat impak keberhasilan.
Beliau berkata, MPSR 2021-2025 diperhebat dengan kempen Risda Prihatin Pekebun Kecil Makmur sepanjang tahun ini.
"MPSR berperanan untuk mencapai hasrat kementerian dan Risda untuk mencapai kemakmuran pekebun kecil untuk menjana pendapatan lebih RM4,500 sebulan sekeluarga.
"Pembentukan MPSR ini diyakini dapat merungkai enam isu berkaitan tanam getah termasuk produktiviti rendah, pemilikan tanah mengecil dan harga getah yang tidak stabil," katanya. - Bernama