KUANTAN - Bekas jurugambar sebuah akhbar berbahasa Cina yang mengalami kebocoran saluran darah utama di bahagian dada terpaksa dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) menggunakan helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pada Khamis.
Chiw Chia Voon, 45, yang menjalani rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dihantar menggunakan ambulans ke padang Ibu Pejabat JBPM Pahang sebelum berlepas dengan helikopter terbabit kira-kira jam 10 pagi.
Isterinya, Kan Han Fong, 46, berkata, suaminya dimasukkan ke HTAA pada Isnin selepas mengalami kebocoran saluran darah utama di bahagian dada.
"Saya difahamkan pihak HTAA tidak mempunyai peralatan sesuai untuk mengatasi masalah itu jadi mereka mencadangkan suami dipindahkan ke HPP.
"Jadi, saya hanya setuju kerana mahu suami segera dirawat dan bimbangkan keselamatannya,” katanya yang tinggal di Alor Akar, di sini.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam JBPM Pahang, Anuar Hassan berkata, penerbangan pemindahan perubatan (Medevac) oleh Unit Udara JBPM itu menggunakan helikopter jenis AW 139.
Katanya, selain pesakit, tiga anggota perubatan dan seorang waris pesakit turut bersama dalam penerbangan itu.
"Penerbangan berkenaan dijangka mengambil masa kira-kira dua jam untuk tiba di lokasi dan ia juga merupakan operasi Medevac pertama untuk tahun ini,” katanya.