Jam jenama tiruan bernilai RM25,000 dirampas

Iklan
Pegawai KPDNHEP Pahang melakukan pemeriksaan ke atas premis sekitar Kuantan bagi mengesan aktiviti penjualan barangan berjenama tiruan pada Ops Tiru di sini pada Selasa.

KUANTAN - Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna(KPDNHEP) Pahang merampas sebanyak 568 jam pelbagai jenama disyaki tiruan hasil pemeriksaan ke atas dua premis di sini pada Selasa.

Barangan dianggarkan bernilai RM25,000 itu dipercayai menggunakan cap dagangan berdaftar secara salah.

Iklan
Iklan

Pengarah KPDNHEP Pahang, Datuk Mark Ujin berkata, siasatan awal mendapati premis itu menawarkan jam tiruan di sebalik perniagaan menjual jam tulen.

Menurutnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019.

Iklan

"Jika sabit kesalahan (perbadanan) denda tidak lebih RM15,000 bagi setiap barang dan untuk kesalahan seterusnya, denda tidak melebihi RM30,000 bagi setiap barang yang didapati menggunakan cap dagangan berdaftar secara salah.

"Bagi individu denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan berikutnya didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya," katanya.

Iklan

Mark berkata, siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenalpasti sumber barangan itu diperoleh.

Tambah beliau, sepanjang suku pertama tahun ini Pejabat KPDNHEP Pahang menjalankan pemeriksaan terhadap 10,286 premis di seluruh negeri.

"Daripada jumlah bilangan premis yang diperiksa, sebanyak 232 kes telah dihasilkan dengan nilai rampasan terkumpul RM188,812 manakala jumlah kompaun RM54,400.

"Antara jenis barangan yang disita termasuk pakaian, barang- barang kawalan seperti minyak masak, diesel dan alat timbang," katanya.

Beliau berkata, kementerian akan terus menguatkuasakan undang-undang di bawah Akta Cap Dagangan 2019 bagi membanteras penjualan barangan tiruan dan aktiviti cetak rompak di pasaran.

"Ops Tiru yang digerakkan bertujuan memastikan lambakan barangan tiruan di negara dan negeri ini dapat dikawal di samping memberi perlindungan kepada pengguna dan juga pihak industri pemilik cap dagangan yang berdaftar di bawah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO)," katanya.