KUALA LUMPUR - Kerajaan tidak akan memperkenalkan bentuk cukai baharu untuk meningkatkan hasil buat masa ini, sebaliknya lebih menumpukan usaha merangsangkan kembali ekonomi dan menjaga kesejahteraan rakyat, kata Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Beliau berkata, kerajaan amat menekankan usaha merancakkan kembali ekonomi dan perniagaan yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 justeru, memperkenalkan kembali cukai barang dan perkhidmatan (GST) atau cukai baharu bukanlah satu langkah tepat buat masa ini.
"Apabila ekonomi telah pulih, kita akan meneliti kaedah yang cekap untuk mempunyai cukai yang boleh membantu melonjakkan ekonomi Malaysia,” katanya pada sidang akhbar mengenai strategi pemulihan ekonomi pada Khamis.
Beliau berkata, walaupun hasil kerajaan dipengaruhi oleh kadar penguncupan yang lebih rendah berbanding jangkaan iaitu 5.6 peratus bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2020, namun unjuran pertumbuhan tahun ini adalah di antara 6.5 dengan 7.5 peratus manakala defisit fiskal disasarkan pada 5.8 peratus.
"Jadi, kita akan menyaksikan hasil kita akan sedikit meningkat tahun ini berbanding tahun lepas,” katanya.
Tengku Zafrul berkata, buat masa ini, Kementerian Kewangan sedang mengkaji semua jenis cukai yang boleh mempelbagaikan dan menambah hasil kerajaan.
Ekonomi Malaysia susut 3.4 peratus pada suku keempat 2020 susulan peningkatan kes Covid-19 menjadikan KDNK setahun penuh kepada -5.6 peratus.
Mengenai Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa), beliau berkata, ia merupakan antara inisiatif untuk menggerakkan ekonomi Malaysia agar dapat berfungsi seperti biasa.
Beliau berkata, kerajaan amat prihatin untuk memperkasa rakyat dan membantu mengembalikan operasi perniagaan seperti biasa demi kelangsungan ekonomi negara. - Bernama