KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Khamis berkenan menerima watikah pelantikan 10 ketua perwakilan asing ke Malaysia di Istana Negara, di sini.
Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berangkat ke Istiadat Penyerahan Watikah Pelantikan dan Majlis Menghadap itu.
Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha Hubungan Dua Hala Kementerian Luar, Datuk Amran Mohamed Zin.
Ketua-ketua perwakilan asing itu ialah Ouyang Yujing dari China; David Evan Malcomson (Afrika Selatan); Viengsavanh Sipraseuth (Laos); Archbishop Wojciech Zaluski (Holy See) (Vatican City) dan Chainarong Keratiyutwong (Thailand).
Yang lain Profesor Dr Senaid Memic dari Bosnia Herzegovina; Herman Pule Diamonds (Namibia); Abdoulaye Barro (Senegal); Brian D Mcfeeters (Amerika Syarikat) dan Florentino Batista Gonzalez (Cuba).
Ouyang pernah berkhidmat sebagai pengarah Biro Hak dan Kepentingan Maritim, Pejabat Suruhanjaya Hal Ehwal Luar Jawatankuasa Pusat CPC, manakala Malcomson adalah ketua pengarah Bahagian Organisasi Serantau.
Viengsavanh pula pernah berkhidmat sebagai sebagai ketua pengarah Jabatan Pemeriksaan, Kementerian Luar sementara Zaluski adalah Apotolik Nunciature atau wakil diplomatik di Burundi dari 2014 hingga 2020.
Sementara itu, Chainarong pernah berkhidmat sebagai duta besar di pejabat Setiausaha Tetap, Kementerian Luar manakala Memic berkhidmat sebagai Datuk Bandar IIIidza, Sarajevo.
Diamonds pernah menjadi timbalan ketua misi dan kaunselor di Beijing, China dan Barro adalah timbalan wakil tetap Republik Senegal ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, New York.
Mcfeeters berkhidmat sebagai timbalan ketua misi, Kedutaan Amerika Syarikat, Baghdad, Iraq, sementara Gonzalez adalah pakar berstatus duta besar Bahagian Amerika Syarikat, Kementerian Luar Cuba. - Bernama