KUALA LUMPUR -"Baru 15 minit saya tinggalkan kedai, sebelum pekerja maklumkan ada kebakaran di deretan gerai di Greenbelt Pasar Datuk Keramat," kata seorang peniaga, Fitri Yanti Johari, 55, yang kedainya hangus dalam kebakaran pada petang Rabu.
Fitri Yanti berkata, dia berniaga seperti biasa pada hari kejadian dan sibuk menyiapkan tempahan katering pelanggan.
Menurutnya, sekitar jam 5 petang dia pulang ke rumah untuk berehat.
"Saya sempat solat Asar di kedai sebelum pulang ke rumah. Baru saja sampai di rumah, pekerja hubungi saya maklumkan ada kebakaran.
"Saya kemudian berpatah balik ke kedai, setibanya di sana memang api sudah marak dengan kepulan asap hitam.
"Pihak bomba tidak benarkan kami masuk ke kedai untuk keselamatan, jadi memang tidak dapat nak selamatkan apa-apa," katanya ketika tinjauan Sinar Harian di lokasi pada Khamis.
Fitri Yanti mengusahakan dua kedai iaitu salun dan makanan nasi kukus ayam berempah kerugian lebih RM30,000 tidak termasuk pendapatan harian sekitar RM2,000.
Dalam kejadian sekitar jam 5 petang itu, lebih 40 kedai yang menjalankan perniagaan makanan, pakaian dan lain-lain musnah dalam kebakaran.
Kejadian dipercayai berpunca dari sebuah kedai sebelum merebak ke sepanjang deretan kedai tersebut.
ARTIKEL BERKAITAN: Deretan gerai di Pasar Datuk Keramat terbakar
Sementara itu, anak kepada pengusaha roti boom Pasar Datuk Keramat, Muhammad Shamir Abu Bakar, 32, berkata, kejadian tersebut sedikit sebanyak mengganggu emosi orang tuanya yang telah mengusahakan perniagaan tersebut sejak 1996.
"Roti boom sini memang tak asing buat penduduk sekitar Keramat. Kebetulan pula kedai tak buka sejak minggu lepas kerana ayah saya kurang sihat dan perlu jalani pemeriksaan.
"Mengikut perancangan mahu buka semula pada Khamis tapi tak sangka terbantut selepas kebakaran ini.
"Sewaktu dimaklumkan kejadian memang mereka nampak sedih terutama ibu saya yang menangis, tapi memang tak boleh nak buat apa-apa, kena tunggu tindakan seterusnya," katanya.
Katanya, berkemungkinan ibu bapanya tidak berniaga selama sebulan sehingga bermulanya bazar Ramadan.
"Walaupun ayah tak sihat tapi dia masih mahu bekerja disebabkan roti boom yang diusahakannya banyak permintaan.
"Saya sendiri membantu ayah berniaga sejak umur tujuh tahun, cuma sekarang hanya membantu apabila hari cuti memandangkan saya mempunyai pekerjaan lain," katanya.
Seorang lagi peniaga, Mohd Yusof Ishak, 63, berharap kawasan tersebut dapat dibangunkan semula bagi memelihara warisan perniagaan yang terawal bertapak di Kuala Lumpur.
"Seawal usia 18 tahun, saya dah berhijrah dari Negeri Sembilan untuk bekerja di sini. Saya bermula bekerja dengan orang menjual buah sebelum berniaga sendiri. Macam-macam diusahakan termasuk air tebu, kedai runcit dan terakhir salun.
"Sebelum ada pasar raya, kawasan ini antara yang popular di Kuala Lumpur, sedih kalau kawasan ini tenggelam disebabkan pembangunan, harap ia dikekalkan," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan cawangan Datuk Keramat, Mohamed Tarmizi Mohamed Akil berkata, peniaga berharap dikekalkan untuk berniaga di kawasan itu.
"Kami mahu tapak ini dinaik taraf, bangunan lama dirobohkan dan didirikan bangunan baharu di tapak asal dalam kadar segera.
"Kali terakhir dinaik taraf adalah setahun lalu, usia bangunan memang dah lebih 50 tahun dan sudah masa bangunan ini dibangunkan semula secara keseluruhan," katanya.
Katanya, setakat ini kesemua peniaga telah diberikan borang untuk tujuan bancian dan selanjutnya diserahkan kepada pihak berkuasa untuk menentukan nasib peniaga di kawasan itu.