SYARIKAT pemaju hartanah ternama, Sheng Tai International Sdn Bhd terus menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi Malaysia khususnya di Melaka apabila menandatangani perjanjian penting dengan pembekal ruang kerja global terbesar di dunia, International Workplace Group (IWG) termasuk jenama Regus dan Spaces.
Dengan perjanjian itu, Sheng Tai International menjadi rakan pertama IWG sejak membuka peluang francais pada tahun 2019 di negara ini.
Sheng Tai International telah melabur kira-kira RM8 juta untuk memulakan kerjasama ini dengan tiga pusat di hartanah komersial syarikat di Melaka.
Pusat pertama, yang akan dikembangkan di bawah Regus akan dibuka di Metrasquare, Melaka pada akhir suku kedua 2021, sementara pusat kedua di bawah Spaces, akan dibuka di The Sail pada tahun 2025.
Pengasas dan Pengerusi Sheng Tai International, Datuk Leong Sir Ley berkata, mereka gembira kerana dapat bekerjasama dengan IWG untuk mengembangkan industri ruang kerja Malaysia yang fleksibel.
Menurutnya, pandemik Covid-19 yang melanda negara dianggap sebagai cabaran bagi pihaknya membuat pelaburan dalam industri ruang kerja fleksibel terutamanya di negeri ini.
"Kami percaya ini adalah waktu yang tepat untuk melabur dalam industri ruang kerja yang fleksibel di Malaysia terutama di Melaka, sejajar dengan pandangan optimis pasca-Covid-19 untuk negeri dan negara," katanya.
Beliau ditemui pada majlis menandatangani perjanjian di antara Sheng Tai International dan IWG disaksikan oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam di Hotel Ames Ayer Keroh di sini pada Khamis.
Sheng Tai International diwakili Sir Ley dan Collin Tan manakala IWG diwakili Vijayakumar Tangarasan dan Ketua Pembangunan Perkongsian Malaysia, Premita Dhaliwal.
Beliau berkata, semakin banyak orang dan jenama global melihat lokasi strategik yang berada di luar pusat bandar, malah pandemik Covid-19 telah mempercepat pertumbuhan trend ruang kerja yang fleksibel di seluruh dunia.
"Kami juga berharap dapat membuka ruang kerja yang lebih fleksibel di seluruh Malaysia dalam lima tahun akan datang," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Wilayah IWG, Gareth Haver berkata, ketika memutuskan untuk membuka peluang francais, mereka memerlukan rakan kongsi yang kuat tetapi yang lebih penting lagi boleh berkongsi visi dan nilai yang sama.