Lima hala tuju MOA majukan sektor pertanian, perikanan

Iklan
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub (dua kiri) melancarkan Majlis Hala Tuju Kementerian Pertanian & Industri Asas Tani: Prioriti dan Strategi 2019-2020 di Maeps Serdang. Turut serta Timbalan Menterinya, Sim Tze Tzin (kanan). - Foto Sinar Harian/Asril Aswandi Shukor

SERDANG - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memperkenalkan lima hala tuju baharu dalam usaha memacu sektor pertanian di negara ini bagi tempoh 2019-2020.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, prioriti dan strategi itu dirangka berasaskan tiga dimensi sektor agro makanan iaitu keselamatan makanan negara; pembangunan ekonomi luat bandar; serta pelaburan swasta dan perdagangan antarabangsa.

Iklan
Iklan

Menurutnya, hala tuju itu dibuat selepas menganalisa kekuatan, kelemahan, peluang dan ancaman dalam kementerian itu.

"Untuk menangani isu dan cabaran yang ada maka dokumen yang mengandungi 5 hala tuju, yang akan dicapai dengan 18 strategi dan 51 inisiatif," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Hala Tuju Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani: Prioriti dan Strategi 2019-2020 di Dewan D Maeps, di sini, hari ini.

Iklan

Salahuddin berkata, hala tuju pertama yang akan dilaksanakan meliputi usaha memoden dan meningkatkan pengeluaran pertanian bagi menjamin kestabilan bekalan dan harga makanan negara dengan memberikan penekanan dalam subsektor padi, ruminan dan perikanan.

"Sementara bagi hala tuju kedua, kementerian akan merancakkan penglibatan pelaburan swasta dalam pertanian secara komersial serta meningkatkan dagangan eksport pertanian.

Iklan

"Manakala hala tuju ketiga meliputi perkara menjadikan pertanian sebagai satu sumber pendapatan yang mampan dan kukuh serta menguntungkan untuk petani, penternak, nelayan dan agropreneur muda,"ujarnya.

Selain itu menurut Salahuddin, hala tuju keempat pula adalah menambah baik ekosistem industri pertanian untuk menyokong pemodenan pertanian, pelaburan sektor swasta dan aktiviti pengembangan untuk petani, penternak dan nelayan.

Sementara hala tuju kelima iaitu memperkukuh struktur organisasi jabatan dan agensi di bawah kementerian untuk menambah baik sistem penyampaian serta tadbir urus kementerian, katanya.

Salahuddin berkata, dalam melaksanakan dokumen hala tuju itu, kementerian juga akan menjadikan pertanian sebagai penyumbang penting eknomi negara, sekali gus mengeluarkan golongan itu daripada terperangkap dalam golongan B40.