SHAH ALAM - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bersama industri telekomunikasi utama menggerakkan kempen MyBAIKHATI menerusi Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) yang diumumkan pada Rabu.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, inisiatif tersebut bagi mengumpul dan membaik pulih peranti komunikasi terpakai untuk keluarga berpendapatan rendah (B40) yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menurut beliau, kempen MyBAIKHATI merupakan antara fokus Pemerkasa bagi memperkukuhkan daya saing negara untuk mengurangkan jurang digital.
"Kempen yang menggunakan 'crowdsourcing' ini akan melibatkan pengumpulan sumbangan alat peranti terpakai daripada syarikat perniagaan dan individu melalui cawangan terpilih.
"Antaranya, Celcom Axiata, Digi Telekomunikasi, Maxis, U Mobile, Telekom Malaysia dan Time dotCom dan akan berlangsung selama 12 bulan bermula di Lembah Klang,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Tambah beliau, sumbangan peranti tersebut akan dikumpulkan dan dibaik pulih dengan kos RM500 bagi setiap unit serta disalurkan kepada penerima B40 berdasarkan senarai yang disediakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Saifuddin berkata, kempen berkenaan diwujudkan atas kesedaran bahawa setiap keluarga memerlukan alat peranti pintar agar tidak ketinggalan dalam meneruskan kelangsungan hidup.
"Konsep 'crowdsourcing' ini akan membawa rakyat serta sektor korporat untuk bersama-sama membantu masyarakat yang kurang berkemampuan ketika menghadapi situasi sukar.
"Kerajaan menyokong penuh usaha ini dan menyeru orang ramai serta syarikat perniagaan untuk menjayakan dengan mendermakan alat peranti terpakai yang boleh dibaik pulih dan diguna semula,” katanya.
Pada Rabu, Perdana Menteri memaklumkan, SKMM akan memperkenal program MyBAIKHATI dengan kerjasama pihak syarikat telekomunikasi sebagai inisiatif 'crowdsourcing' peranti.
Program ini akan dimulakan dengan penganjuran kempen kutipan peranti terpakai seperti komputer riba yang akan dibaik pulih dan diagihkan kepada, antara lain Pusat Internet Komuniti dan pertubuhan komuniti.