SEOUL - Korea Utara menyifatkan usaha Amerika Syarikat (AS) untuk memulakan semula hubungan dengan Pyongyang sebagai ‘muslihat murah’.
Kenyataan Timbalan Menteri Pertama Hal Ehwal Luar, Choe Son Hui yang seakan-akan menggunakan strategi jual mahal itu adalah penolakan rasmi pertama terhadap pendekatan tentatif dibuat pentadbiran Presiden Joe Biden.
Agensi berita KCNA memetik kenyataan Son Hui melaporkan Washington cuba menghubungi Pyongyang melalui e-mel dan mesej telefon menerusi beberapa saluran termasuk negara ketiga.
"Tiada beza pentadbiran terdahulu dengan sekarang. ‘Rejim baharu’ ini tetap menggunakan teori sama tentang ‘ancaman dari Korea Utara’ dan melemparkan retorik tidak berasas tentang langkah nyahnuklear sepenuhnya.
"Kami akan mengabaikan semua usaha mereka untuk berdialog atau menjalinkan semula hubungan selagi AS tidak menarik balik dasar permusuhan ke atas Pyongyang,” ujarnya yang turut menyelar siri sekatan dikenakan pentadbiran Donald Trump yang masih dikekalkan untuk memberi tekanan kepada Korea Utara dan latihan ketenteraan bersama Seoul.
Sindiran tersebut dikeluarkan beberapa jam sebelum Setiausaha Negara AS, Antony Blinken bersama Setiausaha Pertahanan, Lloyd Austin dijadualkan berkunjung ke Korea Selatan pada Khamis yang merupakan lawatan pertama ke luar negara membabitkan pegawai kanan tertinggi pentadbiran Biden.
Pada Rabu, Blinken mengeluarkan kenyataan provokasi apabila ia mendakwa Korea Utara melakukan pelanggaran hak secara meluas ke atas rakyat mereka sendiri dan menegaskan Washington bersama sekutunya komited untuk memastikan langkah nyahnuklear dilaksanakan di Pyongyang.
Pada awal bulan lalu, Rumah Putih mendakwa Pyongyang tidak memberikan sebarang respons ketika ia cuba menghubungi negara itu.
Rundingan damai antara AS dan Korea Utara telah terhenti sejak dua tahun lalu selepas sidang kemuncak terakhir antara Trump dan pemimpin Pyongyang, Kim Jong-un di ibu negara Vietnam pada 2019 susulan pertemuan bersejarah pertama di Singapura pada 2018. - Agensi