SHAH ALAM - Sebanyak 45,000 daripada 66,690 petugas barisan hadapan di Selangor meliputi anggota kesihatan dan keselamatan menerima dos pertama vaksin Covid-19, menjadikan negeri itu sebagai jumlah tertinggi penerima vaksin di Malaysia setakat ini.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang mengambil dos kedua suntikan vaksin tersebut di Hospital Shah Alam di sini berkata, walaupun proses pemberian vaksin pada awalnya perlahan, namun jumlah vaksin yang diberikan adalah tinggi.
Menurutnya, proses suntikan dos pertama vaksin ke atas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan ahli Parlimen di Selangor juga hampir selesai sejak ia dimulakan dua minggu lalu.
"Mereka mula menerima suntikan di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) masing-masing dan hospital daerah terdekat seminggu selepas saya disuntik dan perlu menunggu tiga minggu untuk mendapat suntikan dos kedua.
"Langkah ini (bergerak mengikut daerah) diambil supaya mereka tidak berkumpul pada satu-satu masa.
"Saya percaya dengan kepantasan yang dimiliki, fasa pertama ini akan selesai menjelang April nanti," katanya ketika ditemui media di sini pada Khamis.
Dalam pada itu, Amirudin berkata, pihaknya akan memulakan kempen pendaftaran vaksin fasa seterusnya dalam masa terdekat selepas perbincangan diadakan bersama pemimpin akar umbi bagi memudahkan masyarakat menyertai program tersebut.
Pada Khamis, beliau dan barisan Exco Kerajaan Negeri Selangor, Majlis Keselamatan Negeri (MKN) Selangor menerima suntikan kedua vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech di Hospital Shah Alam di sini.
Amirudin tiba di sini sekitar jam 2.27 petang dan selesai mengambil dos kedua suntikan vaksin pada jam 2.42 petang.