Selesaikan dengan situasi menang-menang isu hasil tangkapan nelayan terjejas

Iklan
Sulaiman ketika sidang akhbar di Seri Negeri, Ayer Keroh Melaka pada Khamis.

MELAKA - Kerajaan negeri Melaka berharap isu penyambungan Jeti Pelabuhan Tanjung Bruas di Tanjung Kling di sini yang didakwa menjejaskan hasil tangkapan nelayan dapat diselesaikan dengan situasi menang-menang.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, hasil pertemuan beliau bersama wakil nelayan baru-baru ini, mereka menyuarakan agar diberikan pengecualian penangkapan ikan pada hari tertentu sepanjang tempoh kerja-kerja pemanjangan jeti itu dilakukan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, nelayan juga berharap bayaran pampasan setimpal dapat diberikan berikutan terkesan dengan projek pemanjangan jeti sepanjang 50 meter yang telah diluluskan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).

"Dua hasrat nelayan di kawasan itu iaitu pembayaran pampasan serta mereka dibenarkan menangkap ikan di kawasan projek pada hari-hari tertentu.

Iklan

"Jadi saya minta pihak Tanjung Beruas Port Sdn Bhd berunding dengan persatuan nelayan, begitu juga wakil rakyat kawasan untuk mendapatkan situasi menang-menang dalam masalah ini.

"Kawasan (pembinaan) didakwa tempat banyak ikan, jadi apa sahaja kerja-kerja membabitkan struktur pembinaan akan menjejaskan nelayan dan menyebabkan kehilangan pendapatan nelayan, waima kapal berlabuh juga akan mengurangkan pendapatan nelayan," katanya ketika sidang akhbar di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini pada Khamis.

Iklan

Sinar Harian pada Jumaat lalu menyiarkan keluhan lebih 300 nelayan termasuk nelayan berdaftar di perairan Tanjung Kling berikutan mata pencarian mereka terjejas akibat projek penambakan laut dan pembinaan jeti pelabuhan berhampiran Jeti Nelayan Kampung Hailam sejak awal bulan ini.

Mereka mendakwa, projek pembinaan jeti sepanjang 600 meter bermula Tanjung Bruas itu menyukarkan nelayan turun ke laut sehinggakan ada antara nelayan terpaksa menangkap ikan sehingga hampir ke Pulau Besar.

Mengulas lanjut, Sulaiman bagaimanapun berkata, dakwaan projek sehingga 600 hingga 750 meter adalah tidak tepat kerana kelulusan yang diberikan kepada pihak Tanjung Bruas Port Sdn Bhd hanyalah 50 meter.

Namun, beliau tidak menolak pemanjangan lebih 600 meter melibatkan fasa kelima atau keenam projek itu yang akan mengambil masa lebih tujuh tahun.

"Bagaimanapun, untuk setiap projek atau fasa yang ingin dilakukan, kerja-kerja pembinaan perlu mendapat kelulusan MBMB, menyediakan laporan Kajian Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA), laporan Penilaian Impak Warisan (HIA) dan sebagainya.

"Setakat ini, fasa pertama melibatkan 50 meter sahaja. Yang lain, itu hanya perancangan pihak Tanjung Bruas Port Sdn Bhd dan belum diputuskan," katanya.