Bergadai nyawa di lampu isyarat

Iklan
Biarpun dalam keadaan sesak, penjaja mengakui yang mereka masih mengutamakan keselamatan.
[MUKADIMAH] Untungnya mungkin tidaklah seberapa, namun demi meneruskan kelangsungan hidup, ada rakyat negara ini sanggup menjaja makanan di tepi persimpangan lampu isyarat dan tengah jalan seperti biasa dilihat di negara Indonesia dan India untuk mencari sesuap rezeki.

Asam boi, kek, kuih-muih, minuman pelbagai perisa, teh tarik malah kopi dan nasi lemak juga ditawarkan kepada pembeli yang sudi membeli apabila penjaja ini berjalan dari satu kenderaan ke satu kenderaan lain.

Mungkin mereka tidak mampu mengeluarkan modal tinggi menyewa premis kedai dan hanya untuk menjalankan perniagaan kecil-kecilan.

Atau adakah kaedah pemasaran seperti ini dilihat lebih berkesan untuk meraih perhatian pembeli?

Ini kerana kaedah jualan dalam talian didapati terlalu banyak saingan dan pencabar maka mereka memilih untuk berniaga mengikut tren di tepi jalan. Ikuti laporan khas yang disediakan oleh Wartawan Sinar Harian Edisi Selangor.

Bermula seawal jam 9 pagi, laluan utama di beberapa jalan raya di sekitar Puncak Alam di Shah Alam mulai sibuk dengan kenderaan.

Tinjauan Sinar Harian mendapati beberapa anak muda yang membawa barang jualan mula bergerak dari satu kenderaan ke satu kenderaan lain yang sedang menunggu lampu isyarat di simpang Persiaran Mokhtar Dahari, Puncak Alam.

Pengguna kenderaan sebenarnya sudah lali melihat suasana itu di beberapa lokasi lain termasuklah di persimpangan Lebuhraya Guthrie ke Stadium Shah Alam, persimpangan lampu isyarat di sekitar Batu 3 Shah Alam dan berdekatan Padang Jawa.

Selain itu, perniagaan di lampu isyarat ini juga sebenarnya sudah menjadi fenomena di seluruh negara.

Bagi peniaga Tok Ma Asam Boi, Hafizul Hamzah, 33, asam garam berhadapan dengan pelbagai ragam pelanggan serta keadaan lalu lintas yang sesak tidak sesekali mematahkan semangat dirinya untuk mencari rezeki.

"Saya dah berniaga di persimpangan lampu isyarat lebih dikenali sebagai ‘Simpang 199’ ini sudah hampir dua tahun.

"Bahaya tu memanglah, tapi apa pun keselamatan tetap diutamakan, saya berniaga bersama tiga lagi adik-beradik saya.

"Kami hanya dekati kenderaan ketika lampu isyarat bertukar merah, kalau hijau memang kami berdiri di pembahagi jalan. Di sini kereta, motosikal, lori memang dipandu laju-laju belaka,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, berniaga di persimpangan lampu isyarat bukanlah sesuatu yang mudah.

"Ramai menyangka mudahnya cara kami berniaga dan perniagaan menguntungkan tetapi sebenarnya bergantung kepada keadaan dan cuaca. Adakalanya kenderaan banyak tapi ramai yang tak beli begitu sebaliknya.

"Saya bersyukur sepanjang menjalankan perniagaan menggunakan kaedah ini belum pernah tak habis barang yang dijual. Paling-paling pun lakulah juga sebalang dua,” katanya.

Hafizul berkata, sebelum ini beliau bekerja sebagai jurujual sebuah syarikat telekomunikasi swasta, namun berhenti kerana mahu menjalankan perniagaan sepenuhnya.

"Perniagaan ini merupakan perniagaan keluarga, jadi saya ambil keputusan berhenti kerja dan bantu keluarga. Alhamdulillah, biarpun susah namun saya minat mencari rezeki dengan cara begini.

"Awalnya memang agak sukar, sebab kita tak tahu orang suka ke atau tidak dengan apa yang kita jual. Alhamdulillah hampir dua tahun di sini, kami sudah ada pelanggan yang setia dan suka dengan produk makanan yang dijual,” katanya.

Hampir cedera dilanggar kereta

Sebelum ini dirinya agak pemalu, namun sifat malu itu dikikis setelah berkecimpung dalam bidang jualan di simpang lampu isyarat di Persiaran Mokhtar Dahari di Puncak Alam.

Hampir setahun bekerja menjadikan anak muda itu tidak lagi malu untuk berhadapan dengan orang ramai.

Sementara itu, biarpun pernah menempuh detik cemas apabila hampir dilanggar kenderaan ketika sedang asyik menjaja, namun bagi Mohd Ziqri Iqmal,17, kejadian tersebut tidak sesekali mematahkan semangatnya untuk terus menjadi penjaja jalanan.

"Niat saya hanya nak bantu keluarga. Setiap kali sebelum keluar berjaja, saya dan rakan-rakan lain akan diberi taklimat mengenai keselamatan ketika berniaga.

"Majikan (pemilik perniagaan asam boi) memang sangat mengutamakan keselamatan, jadi itulah yang menjadi keutamaan kami," katanya.

Menceritakan detik hampir dilanggar sebuah kenderaan sebelum ini, katanya dia tidak menyedari kehadiran kenderaan tersebut selain mengakui agak cuai.

"Masa itu saya tak perasan ada kereta, mujurlah kereta tu sempat tekan brek, tapi itu silap saya juga sebab tak hati-hati.

"Awal masa kerja dulu takutla juga sebab jumpa macam-macam orang, macam-macam ragam pula, tapi lama-kelamaan saya dapat biasakan diri," katanya.

Banyak mengajar erti kehidupan

Jika dahulu dirinya agak nakal dan suka menghabiskan masa di kedai permainan komputer, namun sejak menjadi penjaja di persimpangan lampu isyarat dan tengah jalan, dia makin menghargai hasil titik peluh yang diperolehi.

Pemuda yang hanya mahu dikenali sebagai Zainal, 18, berkata, pengalaman sebagai penjual makanan di persimpangan lampu isyarat banyak mengajar erti kehidupan bagi dirinya.

Katanya, hasil titik peluh diperoleh sebagai penjual makanan mengajarnya mengenai kepentingan menghargai wang diperoleh.

"Banyak cabaran terpaksa ditempuh bila bergelar penjaja, namun paling penting kita menghargai apa sahaja kerja yang dilakukan. Kerja ini sebenarnya memerlukan banyak kesabaran dan paling utama adalah keselamatan.

"Bagi saya yang penting adalah semangat kerjasama antara rakan penjaja lain, tidak terlalu mengejar keuntungan dan paling penting sentiasa menjaga diri antara satu sama lain,” katanya.

Pengusaha My Jeruk Goncang, Zuhaimy Hamzah, 40, berkata, dia terlibat dengan perniagaan dijalankan di persimpangan lampu isyarat sejak hampir setahun yang lalu.

"Saya dah mencuba pelbagai jenis perniagaan sebelum ini. Saya pernah menjual lemang, namun pelanggannya jenis bermusim dan kebetulan tapak perniagaan lama itu hendak dimajukan jadi saya terpaksa cari kaedah lain untuk berniaga.

"Ada rakan yang cadangkan untuk saya berniaga dengan kaedah ini, jadi saya cuba. Alhamdulillah, bermula sejak Ogos tahun lalu saya kini berniaga di persimpangan lampu isyarat di beberapa lokasi di Puncak Alam dengan dibantu kira-kira lima hingga enam pekerja,” katanya.

Jelasnya, dia pernah cuba menawarkan produk makanan kepada pengguna menerusi perniagaan atas talian namun tidak berjaya.

"Saya cuba juga berniaga atas talian namun tak berjaya, mungkin kerana saya kurang kemahiran dan pengetahuan melalui kaedah itu menyebabkan ia tidak menjadi.

"Berkat usaha dan kegigihan saya cuba untuk berniaga di simpang jalan dan Alhamdulillah, walaupun untung tidak seberapa saya masih bertahan,” katanya.

Keselamatan tetap diutamakan

Berniaga di persimpangan yang sesak dengan kenderaan bukan sesuatu yang mudah, tersilap langkah pastinya mengundang bahaya.

Zuhaimy berkata aspek keselamatan amat dititik beratkan kepada pekerjanya.

"Bagi saya keuntungan bukan segalanya namun yang penting adalah keselamatan penjaja dan pelanggan, sebab itu kami berurus niaga ketika lampu isyarat bertukar merah saja.

"Bila lampu isyarat nak bertukar ke hijau memang tak akan ada urus niaga walaupun ada pelanggan yang memanggil, sebab agak bahaya dan itu saya terapkan kepada pekerja,” katanya.

Jelasnya, pada setiap minggu beliau akan memberikan taklimat kepada pekerjanya dan menekankan aspek keselamatan.

Menurutnya, ia berikutan menjalankan aktiviti menjaja di persimpangan lampu isyarat sememangnya berdepan dengan pelbagai cabaran.

"Selain faktor jalan yang sesak, karenah dan ragam pelanggan yang pelbagai juga membuatkan penjaja terpaksa menerapkan sikap sabar yang tinggi.

"Pernah ada pelanggan yang nak beli lima balang jeruk tapi nak buat bayaran kepada pekerja secara atas talian. Akhirnya wang yang dijanjikan nak dibayar tidak diterima,” katanya.

Zuhaimy berkata, bukan setiap masa pihaknya akan menerima keuntungan. Faktor cuaca yang tidak menentu kadangkala memberi kesan kepada hasil yang diperoleh.

"Adakalanya jualan boleh mencecah sehingga 80 balang sehari, namun hasil berkurangan jika hujan,” katanya.

Sepanjang setahun berniaga, Zuhaimy mengakui pekerjanya pernah ditegur oleh anggota pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Ada antara mereka minta pekerja saya balik dan tidak menjaja di tepi jalan, saya minta pekerja ikut sahaja arahan itu dan tidak melawan. Saya faham mereka hanya jalankan tanggungjawab dan tugas,” katanya.

Dalam pada itu, Zuhaimy berharap supaya kerajaan negeri menerusi PBT dapat mempermudahkan urusannya menjalankan perniagaan.

"Terus terang saya katakan, saya ini asnaf, penerima bantuan zakat. Yang bekerja dengan saya juga terdiri daripada keluarga-keluarga asnaf.

"Jadi saya harap kerajaan negeri dapat bantu mudahkan urusan kami berniaga, dapat beri lesen, letakkan syarat-syarat pun tidak mengapa,” katanya.