SEREMBAN - Polis berjaya merampas 266 mesin perlombongan bitcoin yang bernilai anggaran lebih RM500,000 dalam tiga serbuan yang dilakukan sekitar Jalan Seremban 3, di sini pada Khamis malam.
Operasi rampasan yang terbesar itu diketuai oleh Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risik/Operasi), Superintendan Anuar Bakri Abdul Salam bersama lebih 15 anggota polis dan pasukan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, pada operasi tersebut, pihaknya juga berjaya menahan seorang lelaki berusia 27 tahun dipercayai penjaga premis untuk membantu siasatan.
Katanya, kegiatan di tiga premis rumah kedai itu dikesan selepas pihaknya dengan kerjasama TNB menyerbu premis berkenaan bermula jam 4 petang.
"Kita telah melakukan serbuan di tiga premis berasingan dan berjaya merampas 266 mesin perlombongan bitcoin yang bernilai RM528,000.
"Nilai kerugian elektrik yang dikesan untuk tiga premis itu adalah sebanyak RM105,000 sebulan akibat melakukan pendawaian secara haram dan beroperasi lebih tujuh bulan lalu.
"Kita yakin, ini adalah rampasan terbesar dilakukan oleh polis Negeri Sembilan setakat tempoh tahun ini," katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan di lokasi pada Khamis.
Mengulas lanjut, Mohd Said berkata, dengan tertangkapnya lelaki tersebut, pihaknya yakin dapat mengesan beberapa lagi individu yang terlibat dengan aktiviti perlombongan bitcoin secara haram di daerah ini.
Katanya, siasatan lanjut akan dilakukan bagi mengesan pemilik ketiga-tiga premis yang disewa, sama ada kesemua mereka ada kaitan atau sebaliknya.
Siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 379 dan 427 Kanun Keseksaan, manakala bagi pihak TNB, tindakan diambil mengikut Seksyen 37 (3) Akta Bekalan Elektrik 1990.