Terima kasih Malaysia!
Tanda penghargaan kami, petugas kesihatan untuk tunggak kepimpinan negara. Vaksin Pfizer telah diterima Malaysia akhir Februari 2021 sebagaimana dijanjikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin.
Beliau sendiri telah disuntik jururawat terlatih pada 24 Februari 2021 simbolik pemimpin mendahului rakyat demi meningkatkan keyakinan terhadap pemvaksinan.
Terlalu banyak isu terutamanya perbezaan jenis vaksin di pasaran, keberkesanan dan penerimaan individu serta kesan sampingan telah menjadi topik hangat.
Umumnya, semua jenis vaksin samada Pfizer, AstraZeneca, sinovac, CanSinoBIO mahupun Sputnik V yang dibawa masuk ke Malaysia adalah selamat! Vaksin ini melalui pematuhan piawaian yang ketat oleh Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD).
Selepas ini, giliran masyarakat umum untuk divaksinasi, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan memantau segala aspek terutamnya kesan sampingan susulan imunisasi (AEFI).
Isunya ialah adakah anda bersedia untuk vaksin?
Mengikut jadual Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, tiga fasa utama proses pemvaksinan kepada kumpulan sasaran tertentu akan berlangsung secara berperingkat:
- Fasa 1 (Februari-April 2021): Petugas kesihatan serta petugas barisan hadapan (pertahanan).
- Fasa 2 (April-Ogos 2021): Baki petugas kesihatan serta petugas barisan hadapan (pertahanan), warga emas, pesakit kronik (darah tinggi, kencing manis, masalah jantung dan obesiti) serta orang kelainan upaya (OKU).
- Fasa 3 (Mei 2021-Februari 2022): Warganegara dan bukan warganegara berusia 18 tahun ke atas.
Pilihan di tangan anda! Bantu kami para petugas barisan hadapan agar Malaysia mencapai imuniti kelompok (herd immunity) dengan sasaran 70-80 peratus.
Lindungi diri, lindungi semua. Anda mampu mengubah masa depan negara dalam mencapai pemulihan multidimensi termasuk pembangunan ekonomi, mengembalikan kesejahteraan kesihatan mental serta mengekang masalah sosial sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Tanggungjawab kami sebagai profesional kesihatan dalam pemvaksinan
Kami telah menunaikan tanggungjawab menerima dos pertama vaksin Pfizer antara 27 Februari 2021-5 Mac 2021. Sedikit perkongsian untuk memberi gambaran kepada masyarakat perasaan kami setelah pemvaksinan:-
- Pegawai Farmasi, Wan Nur Khairiyah W Hassan: Sakit selepas 8 jam menerima suntikan dan berlarutan sehingga 48 jam. Kawan-kawan ada yang demam.
- Pakar Perubatan Kanak-kanak dan Neonatologi, Dr. Syed Abdul Khaliq Syed Abd Hamid: Vaksinasi Hepatitis B dan Influenza lagi sakit berbanding vaksinasi Pfizer jika diukur melalui tahap kesakitan,
- Pegawai Farmasi, Ainul Mardhiyyah Zameram: Pening selepas disuntik sekitar sejam. Sakit pada tempat suntikan berlarutan dalam 48 jam.
- Pensyarah Kejururawatan, Prof Madya Dr Noor Azizah Mohd Ali: Sakit dan lenguh pada tempat suntikan. Gejala berlarutan dalam 24 jam.
- Juruteknologi Makmal Perubatan, Wan Norulkhamisa Wan Muda: Pening dan lemah tubuh selepas pemvaksinan. Bahu mula sakit sekitar waktu malam.
- Penulis: Tiada interaksi antara pil perancang (tujuan perubatan) dengan pemvaksinan. Sakit, bengkak dan lenguh pada bahu yang disuntik sekitar 24 jam dirasai.
Pesanan kami, jika gejala seperti sakit kepala, sakit otot, sakit sendi, menggigil, loya, sukar bernafas, bengkak sekitar muka, bibir, tekak dan kelenjar limfa (sekitar bawah leher dan ketiak), nadi terlalu laju, ruam teruk seluruh tubuh, pening dan lemah tubuh secara berterusan setelah menerima suntikan, usah lengah! Ini adalah reaksi kesan sampingan.
Tanggungjawab anda sebagai ahli masyarakat
Daftar aplikasi MySejahtera segera untuk disenaraipendek bagi pemvaksinan. Mohon bantuan keluarga seperti anak-anak atau rakan jika mengalami kesukaran.
Sabar menunggu tarikh temujanji dan jangan terpedaya dengan isu potong giliran. Datang awal 15-30 minit apabila tarikh dan masa diperolehi.
Anda akan melalui beberapa fasa pendaftaran dan pengesahan menggunakan aplikasi MySejahtera sepanjang pemvaksinan. Pantau kesan sampingan setelah pemvaksinan.
* Prof Madya Dr Siti Noorkhairina Sowtali adalah Pensyarah Kejururawatan merangkap Exco Persatuan Staff Akademik IIUM (ASA)
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)