SUBANG JAYA - Kerajaan Negeri Selangor mewajibkan semua pengguna bas Smart Selangor termasuk di kawasan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) mengimbas kod QR ‘Scan To Ride’ ketika menaiki perkhidmatan pengangkutan berkenaan.
Timbalan Pengarah Jabatan Korporat Dan Pengurusan Strategik MBSJ, Azfarizal Abdul Rashid berkata, kod berkenaan perlu diimbas ketika naik dan sebelum turun bas.
Menurutnya, arahan itu selari dengan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah penularan wabak Covid-19.
"Bermula 1 Mac lalu, kesemua pengguna bas yang berumur dalam lingkungan 18 sehingga 59 tahun wajib mengimbas kod QR yang terdapat pada pintu masuk dan pintu keluar Bas Smart Selangor dengan menggunakan aplikasi Citizen e-Payment (CEPat).
"Aplikasi CEPat ini adalah percuma dan ia boleh dimuat turun dari GooglePlay (Android) dan AppStore (iOS),” katanya menerusi satu kenyataan.
Beliau berkata, pengguna tidak dibenarkan menaiki bas sekiranya gagal mengimbas kod QR tersebut.
Tambahnya lagi, pengguna kanak-kanak dan warga emas yang menaiki bas bersendirian tidak perlu mengimbas kod namun digalakkan membawa MyKid atau Mykad. Warga asing pula membawa pasport bagi tujuan pengenalan.
"Perkhidmatan bas Smart Selangor ini disediakan secara percuma bagi memberikan kemudahan pengangkutan awam khususnya kepada warganegara Malaysia. Bagi bukan warganegara bayaran sebanyak 90 sen dikenakan bagi setiap individu.
Tambahnya, maklumat daftar pengguna perkhidmatan berkenaan adalah penting dalam usaha penambahbaikan dan membantu meningkatkan perkhidmatan Bas Smart Selangor.
Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut, boleh dibuat dengan menghubungi talian hotline 1700-81-1418 atau emel support@smartselangor.com.my.