KPT puas hati tahap pematuhan SOP pelajar kembali ke kampus

Iklan
Noraini Ahmad

BATU PAHAT - Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berpuas hati dengan tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) penerimaan pelajar kembali ke kampus bagi mengikuti pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara hibrid, mulai awal bulan ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, daripada keseluruhan kira-kira 1.3 juta pelajar di seluruh negara, seramai 44,000 orang dilaporkan sudah berada di kampus manakala kira-kira 4,800 orang pula tinggal di luar kampus.

Iklan
Iklan

"Alhamdulillah, SOP di setiap universiti dalam menerima kemasukan pelajar ini...kami di peringkat KPT merasakan mereka (pengurusan universiti dan pelajar) mematuhinya, bukan sahaja di universiti awam bahkan politeknik dan kolej komuniti,” katanya kepada pemberita pada program ‘Malaysia Prihatin’ di Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Hussein Onn, di sini pada Jumaat.

Enam kategori pelajar institusi pendidikan tinggi dibenarkan ke kampus secara fizikal seawal 1 Mac lalu bagi mengikuti PdP hibrid iaitu secara fizikal dan pengajian dalam talian.

Iklan

KPT menerusi kenyataan sebelum ini berkata, perkara itu dipersetujui Majlis Keselamatan Negara (MKN) berdasarkan beberapa sesi libat urus, kajian dan tinjauan yang dijalankan dengan pihak berkepentingan.

Sementara itu, Noraini berkata, KPT bakal melancarkan Kad Siswa Prihatin untuk semua pelajar universiti awam dalam masa terdekat yang akan diberi secara percuma dan mempunyai pelbagai fungsi termasuk kad matrik, kad debit, e-dompet dan kad diskaun pelajar.

Iklan

Selain itu, KPT juga akan melancarkan Yayasan Kebajikan Siswa yang turut dianggotai oleh mahasiswa bagi membincangkan aktiviti berbentuk keprihatinan terhadap siswa sendiri, katanya, menambah Kad Siswa Prihatin dan Yayasan Kebajikan Siswa merupakan antara 11 agenda yang sedang dan telah dilaksanakan KPT bersama Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan. - Bernama