Tiga syarikat telekomunikasi bekerjasama

Iklan
Ketiga-tiga syarikat telekomunikasi itu sedang mempersiapkan infrastruktur menara untuk masa depan 5G.

SHAH ALAM - Tiga syarikat telekomunikasi terkenal, Celcom Axiata Bhd (Celcom), Digi Telecommunications Sdn Bhd (Digi) dan Maxis Berhad (Maxis) bekerjasama melalui Perjanjian Definitif untuk membangun dan berkongsi infrastruktur fiber.

Ia bertujuan untuk pelaksanaan 'backhaul' fiber ke pangkalan yang lebih cekap dan mengelak pertindihan infrastruktur fiber di negara ini.

Iklan
Iklan

Menerusi satu kenyataan bersama, ketiga-tiga syarikat Telko itu memaklumkan kerjasama itu membolehkan peningkatan kesalinghubungan 4G kepada rakyat Malaysia dan meningkatkan infrastruktur fiber selaras cita-cita di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) serta mempersiapkan infrastruktur menara untuk masa depan 5G.

"Ketiga-tiga operator menggabungkan kepakaran mereka dalam perancangan, pembangunan, penyeliaan, operasi dan juga penyelenggaran infrastruktur fiber di seluruh negara. Operator juga akan berusaha memperhebatkan perkongsian infrastruktur fiber dan meningkatkan pengaturan pertukaran bersama,” kata kenyataan itu pada Khamis.

Iklan

Kenyataan itu berkata, kerjasama fiber ini efektif untuk 20 tahun, pada masa ini, perancangan sudah pun berjalan dengan baik untuk persiapan pembinaan bersama dan seterusnya aturan penukaran.

"Operator lain juga akan berpeluang memanfaatkan kapasiti rangkaian tambahan dari ketiga-tiga telko tersebut,” kata kenyataan itu.

Iklan

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Celcom, Idham Nawawi berkata, Celcom akan terus berkolaboratif dengan pelbagai industri untuk mewujudkan situasi 'menang bersama' yang akan menguntungkan rakyat, kerajaan, dan industri.

Bagi Ketua Pegawai Eksekutif Digi, Albern Murty berkata, kerjasama itu akan mewujudkan peluang untuk mengelakkan pertindihan infrastruktur dan membolehkan pertumbuhan kapasiti rangkaian mudah alih yang lebih pantas melalui kecekapan tapak fiber.

"Kami akan terus meneroka sinergi dalam tujuan bersama kami untuk membawa kesalinghubungan 4G yang berpatutan dan berkualiti tinggi kepada semua pengguna seterusnya membuka jalan bagi teknologi dan perkhidmatan 5G,” katanya.

Ketua Pegawai Rangkaian Maxis, Gokhan Ogut berkata, perkongsian infrastruktur adalah penting untuk mencapai cita-cita ini dan membolehkan kecekapan yang lebih baik terutama dalam merapatkan jurang digital dan menghasilkan persekitaran yang kondusif bagi teknologi baharu seperti 5G.