IPOH - Dua anak muda mewakili belia dilantik buat pertama kali sebagai anggota Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).
Pelantikan Wan Mohammad Afiq Wan Aris Fathillah, 23, dan Ezatul Farita Rohawi, 33, itu diperkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sempena Majlis Pengurniaan Watikah Pelantikan Hakim-hakim Syariah Negeri Perak dan Anggota MAIPk di Kompleks Islam Darul Ridzuan, di sini pada Jumaat.
Pelantikan Ezatul Farita yang pernah dinobatkan sebagai Tokoh Penggerak Muda Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kebangsaan pada 2019 dan 2020 itu juga sekali gus menjadikan MAIPk kini dibarisi tiga anggota wanita.
Ketika ditemui pemberita, Ezatul Farita dari Bagan Datuk berkata, lantikan sebagai anggota MAIPk merupakan satu penghormatan besar bukan sahaja kepada golongan belia tetapi wanita.
Menurutnya, sebelum ini penglibatan wanita dan belia agak terkebelakang dalam program-program berbentuk keIslaman.
"Dengan lantikan ini nanti diharap dapat memberi ruang untuk wanita dan belia terlibat sama dalam apa pun peringkat baik pengurusan mahupun pelaksanaan," katanya yang merupakan Ahli Majlis Tertinggi GPMS Kebangsaan.
Bagi Wan Mohammad Afiq dari Ipoh pula, pelantikan dalam anggota MAIPk adalah platform terbaik mendekatkan remaja terhadap aktiviti keagamaan.
Naib Presiden Remaja Gerakan Belia 4B Malaysia itu juga menanam tekad untuk mengangkat martabat Islam dalam kalangan remaja dan belia yang pada masa kini dilihat memerlukan lebih banyak bimbingan dan perhatian.
"Menerusi ruang ini kita boleh suarakan cadangan dan pandangan dengan harapan apa juga pelaksanaan program nanti menepati minat dan keperluan belia," katanya yang kini di tahun akhir pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer di Universiti Sultan Azlan Shah (USAS).
Sementara itu, dalam titahnya, Sultan Nazrin menzahirkan bahawa golongan belia perlu diberikan kepercayaan untuk terlibat secara aktif, berada di barisan hadapan, meremajakan program-program di bawah anjuran Majlis dengan menyuntik dinamisme baharu.
"Golongan remaja wajib didampingi, suara mereka wajib didengari, pandangan wajib difahami dan kehadiran wajib diiktiraf.
"(Dengan cara itu) program-program yang dianjuri atas nama Islam, berbentuk lebih relevan dengan golongan remaja hingga berjaya menarik penyertaan lebih ramai golongan remaja berjinak dengan aktiviti di masjid dan program-program atas nama Islam," titah baginda.