KOTA BHARU - Tiada lagi kelibat penjaja di persimpangan lampu isyarat di bandar Kota Bharu selepas polis negeri ini mengeluarkan arahan supaya kegiatan itu dihentikan pada Sabtu lalu.
Biasanya setiap hari pada waktu tertentu akan ada anak muda menjaja di persimpangan lampu isyarat, malah lebih meriah setiap kali hujung minggu.
Selepas dua hari peringatan dikeluarkan, Sinar Harian pada Jumaat membuat tinjauan di lokasi yang menjadi tumpuan; antaranya di Jalan Kuala Krai dan laluan ke Jambatan Sultan Yahya Petra serta simpang empat KB Mall di sini.
Sejak tengah hari sehingga jam 3 petang, tidak ada kelibat anak muda mahupun warga emas yang menjaja makanan di kawasan tersebut.
Keadaan itu berbeza pada Khamis kerana masih terdapat dua anak muda yang menjaja makanan bergoreng di tengah-tengah bandar.
Bagaimanapun, anak muda berkenaan yang dikenali sebagai Amer, 18, mengatakan ia adalah hari terakhir mereka berniaga.
Amer berkata, dia sebenarnya tidak mengetahui bahawa polis sudah mengeluarkan arahan supaya menghentikan kegiatan menjaja di persimpangan lampu isyarat berkenaan.
"Tak tahu salah, kak. Tak apa, kali ini hari terakhir saya menjaja. Nak habiskan dua bungkus lagi. Esok saya tak buat dah, takut kena saman, rugi pula," katanya kepada Sinar Harian.
Pada Selasa, polis negeri ini mengeluarkan arahan kegiatan menjaja di persimpangan lampu isyarat dihentikan.
Menurut polis, pembeli dan penjual boleh dikenakan saman sekiranya ingkar arahan tersebut.
Jika didapati bersalah, penjual dan pembeli terbabit boleh dihadapkan ke mahkamah dengan denda sehingga RM2,000.