HARAPAN gandingan Pearly Tan-M Thinaah yang dinobatkan sebagai juara terbuka Switzerland baru-baru ini untuk melangkah ke peringkat separuh akhir Kejohanan All England 2021, musnah apabila mereka tewas kepada pasangan Nami Matsuyama-Chiharu Shida dari Jepun dalam saingan suku akhir.
Pearly-Thinaah menampilkan persembahan yang baik pada awalnya, sebelum tewas kepada pasangan Jepun itu dengan 21-12, 20-22, 21-16, dalam masa sejam, di Utilita Arena di Birmingham.
Selepas permulaan yang goyah di set pertama, Pearly-Thinaah enggan menyerah kalah di set kedua apabila mereka bangkit kembali untuk membawa perlawanan ke set penentuan.
Namun di set ketiga, pasangan muda negara yang diletakkan sebagai pasangan bukan pilihan, gagal mengembalikan kehebatan mereka, dan tewas pada pasangan pilihan kelima kejohanan.
Pasangan Nami-Chiharu akan berhadapan dengan rakan senegara, Mayu Matsutomo-Wakana Nagahara hari ini untuk melangkah ke pentas final, Ahad ini.
Terdahulu pemain perseorangan utama negara Lee Zii Jia mengejutkan pemain nombor satu dunia Kento Momota dari Jepun untuk mara ke perlawanan peringkat separuh akhir kejohanan badminton tertua dunia itu.Zii Jia menewaskan pilihan pertama Momota dengan 21-16, 21-19 dalam masa 55 minit, dan seterusnya beliau akan berhadapan dengan Mark Caljouw dari Belanda, hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Zii Jia 'smash' Momota
Cabaran Malaysia yang tinggal kini bergantung pada dua pasangan beregu campuran yang melibatkan pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016, dandingan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, yang akan berentap dengan pasangan dari Perancis, Thom Gicquel-Delphine Delrue.
Pasangan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing juga kini mengintai peluang untuk ke peringkat separuh akhir, dan mereka dijadual bertemu dengan pasangan Jepun Yuta Watanebe-Arisa Higashino di suku akhir. - Bernama