KUALA SELANGOR - Seorang isteri memikul ujian berat apabila menjaga suaminya yang koma selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya pada 17 Julai tahun lalu.
Siti Arbi Katan, 50, berkata, kehidupan mereka sekeluarga berubah sekelip mata apabila suaminya, Radzali Mohammad, 57, kini hilang daya ingatan akibat kecederaan teruk pada bahagian otak.
Menurutnya, suaminya yang sebelum ini bekerja sebagai mekanik di sebuah kilang di Klang terlantar di atas katil sambil dan dipasang bacaan al-Quran sepanjang masa melalui telefon bimbit.
"Beginilah nasib suami saya setiap hari. Saya hanya mampu berdoa kepada ALLAH supaya ada keajaiban dia kembali sembuh," katanya yang ditemui Sinar Harian di rumahnya di Kampung Bukit Cherakah di sini pada Jumaat.
Siti Arbi berkata, sejak suaminya terlantar, kehidupan mereka dihimpit kesusahan kerana sebelum ini segala perbelanjaan diurus suami.
Ibu empat anak itu memberitahu, pada masa ini semua perbelanjaan terpaksa bergantung kepada bantuan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sebanyak RM1,500 sebulan.
"Saya buntu memikirkan bagaimana untuk menyediakan wang secukupnya untuk menampung perbelanjaan membeli susu khas sebanyak RM70 sehari, menyediakan lampin pakai buang dengan kos RM16 dalam tempoh dua hari selain ubat-ubatan sebanyak RM300 sebulan," katanya.
Menurut Siti Arbi, rutin hariannya juga berubah keran perlu menguruskan suami tetapi dia bersyukur kerana dibantu dua anak lelaki iaitu Muhammad Aiman Syafiq, 20, dan Aimim Imam, 16.
Bagaimanapun katanya, Muhammad Aiman terpaksa berhenti kerja dan Aimin Iman yang masih bersekolah akan bergilir-gilir mengambil tugas menguruskan bapa mereka.
"Anak sulung saya berusia 29 tahun sudah berkahwin dan seorang lagi anak lelaki saya berusia 25 bekerja di Pahang," katanya.
Siti Arbi berkata, dia berjanji akan memikul amanah menjaga keluarga selagi hayat di kandung badan kerana suaminya itu seorang bapa yang penyayang serta memberi keutamaan kepada keluarga.
"Suami seorang yang tidak kedekut, dia selalu tunaikan permintaan saya dan kini tiba giliran saya untuk membalas segala kebaikannya," katanya.
Katanya, Ramadan yang bakal tiba tidak lama lagi tentunya mengundang sebak apatah lagi keadaan kesihatan suaminya yang tidak mengizinkan.
"Suami rajin menyediakan menu berbuka dan paling dia suka roti John.
"Dia dan anak-anak akan bertungkus-lumus menyediakan juadah dan saya tidak dapat bayangkan jika semua kenangan ini luput begitu sahaja," katanya.
Mengimbau kemalangan itu, Siti Arbi berkata, kejadian berkenaan meragut kebahagiaan keluarga mereka selepas suaminya terjatuh daripada motosikal ketika dalam perjalanan pulang dari tempat kerja.
Katanya, kejadian pada jam 6.40 pagi itu hanya disedari berlaku seorang anaknya yang terbaca status di Facebook berhujung pencarian waris seorang lelaki terbabit dalam kemalangan.
"Sebaik sahaja mengetahui suami terbabit kemalangan kami sekeluarga terus bergegas ke Hospital Klang dan dia dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) sebelum menjalani pembedahan otak di Hospital Sungai Buloh.
"Suami hanya dibenarkan pulang ke rumah pada 24 Oktober tahun lalu dan sehingga saat ini dia masih tidak menunjukkan sebarang perubahan," katanya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam (12010024661953) atas nama Siti Arbi dan menghubunginya di talian
013-3069781.
Sementara itu, nasib menimpa keluarga terbabit turut mendapat perhatian daripada Lembaga Zakat Selangor.
Ketua Divisyen Komunikasi Korporat LZS, Datin Norajun Ainun Mohd Hashim berkata, pihaknya meluluskan bantuan keperluan perubatan bagi meringankan beban perbelanjaan keluarga ini.
"Bantuan perubatan berkala itu termasuk susu khas, lampin pakai buang, serta keperluan lain seperti yang dicadangkan oleh pegawai perubatan," katanya.