Masyarakat digesa bersama banteras rasuah

Iklan
Gambar kecil: Mohd Ridhwan

JOHOR BAHRU - Usaha membanteras rasuah sewajarnya dilakukan bersama di setiap peringkat agar budaya negatif itu tidak merebak dalam masyarakat dan menjadi barah yang menghancurkan bangsa serta negara.

Pengerusi Pertubuhan Permuafakatan Pendidikan Malaysia@Me'DIDIK, Mohd Ridhwan Othman berkata, beliau memandang serius isu rasuah di negara ini yang dilihat semakin berleluasa.

Iklan
Iklan

Katanya, langkah membasmi rasuah di negara ini perlu dilakukan secara komprehensif meliputi pelbagai sudut termasuk mewujudkan kesedaran di peringkat awal iaitu sekolah.

"Pelbagai pendekatan perlu diambil termasuk penguatkuasaan undang-undang dan hukuman berkaitan dengan isu rasuah.

Iklan

"Namun kesedaran juga perlu diwujudkan di peringkat awal termasuk di sekolah bagi generasi baharu agar mempunyai sikap jauhi rasuah,” katanya kepada Sinar Harian.

Justeru, Me'DIDIK menyokong penuh inisiatif memerangi rasuah melalui kempen Rasuah Busters dan mengharapkan agar usaha itu dapat dijayakan dengan sebaiknya.

Iklan

"Masyarakat perlu sedar bahaya budaya rasuah jika tidak dikekang. Lebih banyak negatifnya termasuk membantutkan pertumbuhan ekonomi negatif selain mengundang pelbagai permasalahan lain.

"Sikap telus dan proaktif dalam menangani kes rasuah adalah amat penting dan masyarakat perlu berganding bahu membanteras isu rasuah agar imej negara bersih,” katanya.