KOTA KINABALU - Penggunaan aplikasi media sosial seperti WeChat dan MiChat untuk aktiviti tidak bermoral bukan perkara asing bagi wanita yang menjalankan aktiviti persundalan di daerah ini.
Terbaharu, taktik dua wanita warga asing berusia 22 dan 28 tahun yang menjalankan aktiviti itu berjaya dikesan di sebuah hotel di Jalan Sulaman dalam Ops Noda pada jam 2.30 petang Jumaat.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, operasi itu dijalankan oleh sepasukan anggota dan pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah, Cawangan Pencegahan Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7), Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Sabah selepas menerima maklumat dan risikan berhubung kegiatan itu.
"Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua mereka disyaki menjalankan kegiatan pelacuran melalui aplikasi talian.
"Ketika ditahan, polis turut merampas tiga telefon pintar dipercayai digunakan untuk mencari pelanggan selain turut menemui dua keping kondom belum guna bersama satu keping kondom yang sudah digunakan," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
Hazani berkata, hasil pemeriksaan lanjut, polis turut merampas satu kad bilik hotel dan sejumlah wang tunai.
"Kedua-dua tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk tindakan selanjutnya.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan," katanya.