JELI - Kerajaan sudah berada pada landasan yang tepat dalam menangani penularan pandemik Covid-19 menerusi penggunaan vaksin Pfizer-BioNTech dan Sinovac.
Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, perkembangan positif itu antara usaha melandaikan keluk jangkitan Covid-19 selepas seramai 389,000 orang sudah menerima suntikan vaksin setakat ini.
Beliau berkata, jumlah ini sudah menghampiri sasaran fasa pertama dan kerajaan berharap lebih ramai lagi akan mendaftar untuk terima suntikan.
"Ajaklah kawan-kawan dan keluarga mendaftar... Kita nak semua rakyat berdaftar dan terima suntikan," katanya kepada pemberita pada Sabtu selepas menghadiri Majlis Penyerahan Projek Siap Pejabat Kesihatan Daerah Jeli pada Sabtu.
Hadir sama, Ahli Parlimen Jeli yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Pakar), Ir Radzwan Kasim dan Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Husin.
Dr Noor Azmi berkata, kementerian kini berusaha untuk mendekati individu yang enggan menerima suntikan vaksin Covid-19.
Beliau berkata, pihaknya juga mengesan terdapat sebilangan kecil individu yang berdaftar sebagai penerima vaksin tetapi tidak hadir untuk mendapatkan suntikan.
Contoh katanya, di Kelantan seramai 19,630 sudah berdaftar dan daripada jumlah itu, 151 tidak hadir dan didapati 183 enggan menerima suntikan.
"Saya tak faham, kerajaan telah berusaha menerusi media sosial dan sebagainya untuk menghebahkan kepentingan suntikan vaksin dan supaya semua bertanggungjawab," katanya.
Menurut beliau, semua pejabat kesihatan awam di seluruh negara perlu membuat pemeriksaan terhadap perkara itu untuk mengetahui punca individu berkenaan bertindak demikian.
"Kita nak tahu kenapa mereka tak nak (suntik), kenapa tidak hadir. Adakah terlupa, sengaja. Kita mesti tahu sebab kementerian tidak mahu angka ini akan bertambah.
"Kalau meningkat ia akan menjejaskan peluang kita untuk mencapai imuniti kelompok... Kita tidak boleh biarkan perkara ini.
"Kita takut nanti ada yang menghasut orang lain pula. Itu yang saya bimbangkan," katanya.