JOHOR BAHRU - Sebuah rumah teres dua tingkat dan dua buah kenderaan musnah dalam kebakaran melibatkan tujuh kediaman di Taman Pulai Perdana di sini pada pagi Sabtu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Skudai, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Riduan Akhyar berkata, enam lagi kediaman yang turut terlibat hanya membabitkan bahagian garaj hadapan.
Menurutnya, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Johor menerima panggilan kecemasan pada jam 8.13 pagi.
"Dua jentera FRT, satu water tanker dan satu jentera EMRS dari BBP Skudai dan BBP Larkin dengan kekuatan seramai 12 anggota telah dikejarkan ke tempat kejadian.
"Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di lokasi, kita dapati sebuah rumah sedang marak terbakar membabitkan seluruh struktur bangunan, manakala enam kediaman lagi hanya mengenai bahagian garaj hadapan.
"Sebuah kereta dan sebuah motosikal juga musnah dalam kebakaran itu, namun tiada kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan," katanya.
Mohd Riduan berkata, operasi memadam kebakaran ditamatkan pada jam 9.43 pagi.
"Jumlah kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan," katanya.