Insiden jambatan gantung runtuh serius: Tok Pa

Iklan
Ahmad menunjukkan kawasan jambatan gantung di Lata Keding, Jeli yang ditutup sementara pada Sabtu.

JELI - Insiden jambatan gantung runtuh sehingga mencederakan 10 pengunjung di Lata Keding di sini pada Jumaat dianggap sebagai kejadian yang serius.

Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, walaupun tidak membabitkan sebarang kecederaan parah, namun perkara tersebut tidak sepatutnya berlaku selain perlu dipastikan agar kejadian itu tidak berulang.

Iklan
Iklan

"Kita tidak boleh ambil ringan perkara ini dan tindakan sewajarnya perlu diambil. Kawasan kejadian sudah ditutup oleh pihak berkuasa dan saya difahamkan ia masih dalam pembinaan.

"Tindakan terhadap pemilik kawasan diserahkan kepada pihak berkuasa. Saya sudah berbincang dengan Majlis Daerah Jeli untuk memastikan kejadian seperti ini tidak berulang," kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) itu kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Projek Siap Pejabat Kesihatan Daerah Jeli di sini pada Sabtu.

Iklan

Hadir sama Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Noor Azmi Ghazali; Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Pakar), Ir Radzwan Kasim dan Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Zaini Husin.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Superintendan Ahmad Arifin berkata, polis sedang melakukan siasatan berhubung kejadian itu.

Iklan

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kabel yang menyambungkan jambatan berkenaan tercabut menyebabkan pengunjung terjatuh pada ketinggian lebih empat meter.

"Panjang jambatan berkenaan lebih kurang 40 meter. Dari maklumat yang diperolehi, lima orang mangsa mendapat rawatan pesakit luar dan dibenarkan pulang," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di Latar Keding di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, polis akan memanggil pemilik pusat peranginan berkenaan untuk disoal siasat.

"Saya nasihatkan kepada orang ramai agar tidak menggunakan fasiliti yang masih dalam pembinaan ini," katanya.

Dalam kejadian kira-kira 1.30 petang Jumaat, tidak kurang 10 pengunjung cedera akibat terjatuh apabila struktur binaan jambatan gantung di Lata Keding itu runtuh.

ARTIKEL BERKAITAN: Pengunjung cemas jambatan gantung di pusat rekreasi putus