KOTA KINABALU - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijadual mengadakan lawatan rasmi dua hari ke Sabah bermula pada Ahad.
Lawatan itu dijangka mengukuhkan lagi kerjasama sedia ada antara kerajaan negeri dan Persekutuan selain memudahkan perancangan pembangunan menyeluruh buat Negeri Di Bawah Bayu itu.
Ia lawatan sulung beliau ke negeri ini selepas Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang terdiri daripada Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) membentuk kerajaan negeri setelah memenangi Pilihan Raya Negeri Sabah September tahun lepas.
Menurut jurucakap Pejabat Ketua Menteri pada Sabtu, Perdana Menteri akan memulakan lawatan itu dengan menghadiri Program Pimpinan Bersama Rakyat di Magellan Sutera Harbour Resort di sini, pada Ahad.
Pada hari kedua lawatan, Muhyiddin dijadual menghadiri taklimat dan sesi Balai Rakyat 'Makmur Bersama Sabah 2030’ di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) dan turut dijadual melawat Pusat Vaksinasi Covid-19 daerah Kota Kinabalu di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan.
Perdana Menteri kemudian dijadual mengadakan kunjung hormat kepada Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri dan menghadiri pelancaran Projek Lok Kawi Resort City dan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) inisiatif pelaburan asing serta domestik di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah.
Muhyiddin juga akan turun padang beramah mesra bersama rakyat Sabah pada program Ziarah Prihatin melibatkan golongan B40 di sekitar Kota Kinabalu; sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur pada lewat petang itu.
Lawatan ini juga dijangka dapat memastikan hala tuju pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) yang baru dibentuk oleh kerajaan GRS Sabah dapat bergerak seiring dengan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) di peringkat nasional.
Pelan pembangunan SMJ akan bergerak dalam kerangka utama agenda pembangunan nasional di bawah WKB dan akan memberi manfaat besar kepada rakyat Sabah menerusi pelaksanaan projek serta program berimpak tinggi yang memerlukan bantuan dan sokongan kerajaan Persekutuan.
Perdana Menteri dalam satu wawancara khas sempena setahun pentadbiran sebelum ini menyatakan komitmen kerajaan PN kepada kerajaan negeri Sabah dan Sarawak bagi memastikan kedua-dua negeri diberi layanan yang sama adil sebagaimana negeri lain di Semenanjung. - Bernama