Langgar SOP: Dua beradik antara tujuh dikompaun RM10,000

Iklan
Mohamad Noor Yusof

KUANTAN - Dua beradik antara tujuh individu yang dikenakan tindakan kompaun RM10,000 kerana tidak mendaftar nama pada buku sebelum masuk ke premis di sekitar Teluk Cempedak pada malam Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, kesemua mereka yang berusia 18 hingga 61 tahun didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang dikeluarkan oleh kerajaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, seorang pemilik gerai makanan di Telok Cempedak juga dikenakan kompaun kerana membenarkan pelanggan masuk ke premis tanpa mendaftar masuk menggunakan aplikasi MySejahtera.

"Kesemua mereka dikenakan kompaun di bawah Peraturan 18 (3) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Kunci Rumah Projek Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) Pahang di Perumahan Makmur Gambang Jaya 2 pada Sabtu.

Mohamad Noor berkata, dalam tempoh 10 hari pelaksanaan kompaun baharu, polis Kuantan telah mengeluarkan sebanyak 25 notis kompaun kepada individu yang didapati melanggar SOP.

Iklan

Katanya, pengeluaran notis kompaun itu bagi menyedarkan masyarakat supaya mematuhi garis panduan ditetapkan.

"Kita bukan bertindak sesuka hati dalam mengeluarkan kompaun kepada orang ramai. Kita juga bukan mencari kesalahan tetapi ini adalah tindakan untuk mengekang penularan wabak Covid-19," katanya.