BAGAN DATUK - Pejabat Agama Islam Daerah Bagan Datuk menggerakkan usaha membersihkan kawasan pesisiran Sungai Perak berhampiran Waterfront Bagan Datuk di sini bersama sukarelawan belia pada Sabtu.
Pegawai Tadbir Agama Daerah Bagan Datuk, Muhamad Khairul Basri Osman berkata, inisiatif itu bagi memastikan persekitaran kawasan sungai tersebut bersih dari sampah.
Menurutnya, kewujudan sampah yang banyak di kawasan itu menunjukkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan menjaga kebersihan agak kurang sedangkan kawasan tersebut berhampiran dengan tempat tumpuan pelancong.
"Ini bukanlah kali pertama program seumpama ini dibuat tetapi kita lihat sampah masih dibuang di kawasan itu. Keadaan ini berlaku kerana orang tak malu buang sampah dan orang tak hirau tengok sampah bersepah.
"Kesedaran inilah yang harus dipupuk dalam kalangan masyarakat tambahan sebagai orang Islam, menjaga kebersihan merupakan satu tuntutan," katanya kepada Sinar Harian selepas turut serta dalam program Trash Hero 3.0 di Bagan Datuk Waterfront di sini pada Sabtu.
Hadir sama pada program tersebut, Ahli Jawatankuasa Majlis Belia Daerah Bagan Datuk, Muhammad Asyraaf Mohd Maasom; Timbalan Pengarah Politeknik Bagan Datuk, Ts Dr Zunuwanas Mohamad; Pegawai Pembangunan Pelajar, Kolej Komuniti Bagan Datuk, Raja Ahmad Syawal Raja Musa; Setiausaha Pertubuhan Generasi Peduli Sampah Malaysia, Beh Zeng Kang dan Yang Dipertua Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Cawangan Teluk Intan, Aimy Nabilla Mohamad Yusof.
Menurut, program tersebut turut mendapat kerjasama Majlis Belia Daerah Bagan Datuk, Politeknik Bagan Datuk dan Kolej Komuniti Bagan Datuk yang terdiri daripada belia pelbagai latar belakang.
Sementara itu, Muhamad Basri berkata, pihaknya merancang untuk mengadakan program sama melibatkan masyarakat setempat bagi mendidik jiwa mereka menjaga kebersihan persekitaran.
Menurutnya, soal penjagaan alam sekitar melangkaui agama dan bangsa kerana ia melibatkan tanggungjawab setiap individu bagi memastikan persekitaran mereka sentiasa bersih.
Katanya, ketika ini program seumpama itu tidak dapat dibuat dalam jumlah yang ramai bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Dalam pada itu, beliau menjelaskan dalam tempoh program tersebut, banyak sampah yang dikutip terdiri daripada botol-botol plastik, plastik makanan dan sebagainya.
Katanya, kesedaran mengenai tanggungjawab membuang sampah dengan betul harus perlu diterapkan dalam masyarakat sehingga mereka rasa bersalah apabila melihat sampat yang bersepah.