SELEBRITI Lana Nodin mengucapkan syukur kerana anaknya, William Daud McKienzie, 2 bulan, selamat menjalani pembedahan jantung sebentar tadi.
Jelas Lana, doktor memberitahu anaknya telah selamat menjalani prosedur tanpa sebarang masalah seperti sebelumnya.
"Alhamdulillah, anak saya telah selamat dibedah. Jantung dia tak berhenti seperti sebelum ini. Doktor dapat buat prosedur seperti yang sepatutnya.
"Terima kasih kepada semua yang mendoakan anak saya. Saya tak pernah upload gambar anak saya tapi rupanya ramai yang sayang dengan anak saya ini. Terima kasih, kami sangat menghargai doa-doa anda," jelas Lana dalam linangan air mata kegembiraan menerusi live IG @melodiTV3.
Tambah Lana, dia berharap ibu-ibu yang mempunyai anak sakit agar teruskan berdoa.
Terdahulu, Lana memberitahu jantung anak keduanya, Billy (William Daud McKienzie) telah terhenti selama 10 minit ketika mahu menjalani pembedahan. Oleh yang demikian, pembedahan terpaksa ditangguhkan ke hari lain.
Billy mengalami masalah injap jantung (aortic stenosis).
Pembedahan perlu dilakukan segera bagi mengelak anaknya mengalami masalah jantung bengkak ketika meningkat dewasa.
Lana mendirikan rumah tangga bersama David McKienzie pada Mac 2015. Selain William, pasangan tersebut dikurniakan cahaya mata pertama, Gia Quinn McKienzie yang kini berusia tiga tahun.