KUANTAN - Tiada lagi rumah keluarga tentera dua bilik pada masa akan datang bagi keselesaan anggota tentera, kata Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.
Beliau berkata usaha menaik taraf rumah tersebut menjadi tiga bilik sedang dilakukan secara berperingkat, mengikut peruntukan yang diterima.
Katanya, untuk Belanjawan 2019, kementeriannya menerima peruntukan RM120 juta untuk tujuan penyelenggaran rumah tentera, termasuk peruntukan tambahan berjumlah RM50 juta untuk menaik taraf.
"Peruntukan yang ada untuk disegerakan penambahbaikan rumah keluarga kerana kita tahu tentera memang hidup secara berkelompok dan semuanya dibuat di dalam kem. Bagaimanapun kedaifan dan jumlah rumah yang tidak cukup menyebabkan ramai memilih menetap di luar kem.
Kita mengambil perhatian serius dan sedang mengusahakan menaik taraf kuarters yang ada. Kita tahu rumah dua bilik tidak sesuai untuk mereka yang bekeluarga," katanya pada sidang media di sini hari ini, selepas mengadakan lawatan kerja ke Kem 4 Briged Mekanize dan Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di sini, hari ini.
Mohamad menambah projek menambah baik rumah keluarga tentera, yang dimulakan oleh kerajaan dahulu, juga telah hampir disiapkan untuk empat blok di perumahan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, Perak, selain yang sedang dilaksanakan di Port Dickson, Negeri Sembilan dan di sini.
"Kita tidak ada jangkaan bila semua rumah dapat dijadikan tiga bilik kerana kita buat secara berperingkat. Kita kenal pasti dahulu keadaan rumah dan tahap keuzurannya kerana ada yang kritikal.
"Ada yang perlu dibaiki secara unit, ada yang (penambahbaikan) dilakukan mengikut blok kerana keadaan keseluruhan blok yang agak teruk. Jika ditanya, jumlah peruntukan yang ada memang tidak mencukupi tapi kita tetap berusaha sebaik mungkin," katanya.
Pada perkembangan lain, Mohamad yang juga Presiden Amanah berpandangan sokongan rakyat terhadap PH tidak terjejas dengan penyertaan bekas Ahli Parlimen daripada UMNO yang menyertai Bersatu
Beliau berkata penyertaan tujuh MP yang menerima kad keahlian daripada Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad semalam, sebaliknya akan memperkuatkan PH.
"... tidak menjejaskan sokongan. Kalau ada ramai yang sertai maknanya (sokongan) bertambah," katanya.
Tujuh Ahli Parlimen yang menerima keahlian Bersatu ialah Datuk Seri Hamzah Zainudin (Larut), Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad (Mersing), Datuk Shabudin Yahaya (Tasik Gelugor), Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam), Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah) dan Datuk Mas Ermieyati Samsuddin (Masjid Tanah). - Bernama