Konsert 3 Suara sedia gegar Stadium Indera Mulia

Iklan
Jamal (tengah), bersama Zamani dan Ameng pada sidang media berkenaan

WARGA bandaraya Ipoh berpeluang menyaksikan persembahan hebat daripada tiga artis terkemuka tanah air, Datuk Jamal Abdillah, Ameng dan Zamani pada Konsert 3 Suara yang bakal berlangsung di Stadium Indera Mulia 6 April depan.

Mengulas lanjut, Jamal yang juga Pengarah Urusan Binjamal Event Sdn Bhd berkata, dia agak teruja dengan penganjuran konsert berkenaan setelah kejayaan konsert seumpamanya di Panggung Sari Istana Budaya dua tahun lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, konsert berkenaan nyata mendapat pujian ramai dan kebanyakannya menyuarakan keinginan untuk menyaksikan lagi konsert berkenaan.

"Alhamdulillah, saya sangat gembira kerana sekali lagi dapat menggabungkan Ameng dan Zamani dalam sebuah konsert.

Iklan

"Sekali gus, mengembalikan semula ingatan peminat terhadap konsert yang pernah kami anjurkan dua tahun lalu.

"Insya-ALLAH dengan kerjasama yang baik daripada Kerajaan Negeri Perak termasuk lembaga pelancongan, pertubuhan Kebajikan Amal Silaturrahim Isteri-Isteri Harapan (KASIH) Negeri Perak, Perak FM konsert ini akan berjaya dan mendapat sambutan yang menggalakkan,” katanya.

Iklan

Jamal berkata demikian pada sidang media sempena penganjuran konsert berkenaan di Hotel Syuenn, petang tadi.

Difahamkan, sempena konsert berkenaan, Karnival Konsert 3 Suara akan turut diadakan di perkarangan stadium mulai 8 pagi hingga 8 malam, sebelum konsert 3 Suara bermula pada 8.30 malam.

Antara aktiviti yang diadakan adalah seperti reruai jualan, trak makan, jualan ‘car boot,’ zumba, persembahan buskers, futsal jalanan, sukan rakyat, pertandingan karaoke lagu Datuk Jamal Abdillah, Zamani dan Ameng, pertunjukan Ferrari dan Lambghini, pertandingan motosikal vespa, motosikal klasik dan Harley Davidson, kempen kesedaran daripada Pengasih Amanjaya Gopeng serta jualan pra Hari Raya Aidilfitri.

Tiket-tiket berharga RM183, RM133, RM103 dan RM83 boleh didapati menerusi www.ilassotickets.com atau hubungi 03-21706333.

Orang ramai juga boleh menghubungi Aida Husin dia talian 012-2166873 atau mewahevent@gmail.com untuk keterangan lanjut.

Sementara itu Jamal berkata, dia memilih Ipoh sebagai lokasi konsert berkenaan berikutan pelancaran Festival Seni Perak 2019.

"Pada konsert ini setiap artis akan mendendangkan lapan lagu secara solo selain tiga lagu secara gabungan ketiga-tiganya.

"Konsert ini juga akan mengetengahkan anak saya, Osama dan kumpulan Radiowave dalam usaha memerikan pendedahan, sokongan serta platform untuk mereka terus bertapak dalam arus perdana industri seni tanah air,” katanya.