KUALA LUMPUR - Permohonan dan pembayaran lesen Bazar Ramadan 2019 dilaksanakan secara dalam talian bermula esok.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membuka permohonan berkenaan melalui laman web https://elesen.dbkl.gov.my/ebazar hingga tarikh tutup, 14 Mac depan.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, DBKL akan melaksanakan proses semakan pemohon yang layak untuk ke proses pengundian mulai 23 Mac.
"Manakala proses pengundian pula akan diadakan pada 27 hingga 30 Mac.
"Pemohon boleh membuat semakan status permohonan mereka mulai 8 April depan secara dalam talian,”katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran portal e-bazar di Menara DBKL, Kuala Lumpur, hari ini.
Tambah beliau, sebanyak 4,330 petak membabitkan 57 lokasi bazar di sekitar ibu kota ditawarkan kepada peniaga pada tahun ini yang mana akan diuruskan oleh DBKL sendiri.
"Tiada lagi sebarang penganjuran oleh pihak luar seperti badan bukan kerajaan (NGO), persatuan dan individu.
"Setiap permohonan bazar adalah secara individu. Terdapat dua kategori bazar ramadan iaitu kategori A di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) membabitkan 288 tapak.
"Manakala kategori B pula membabitkan 980 petak di sekitar ibu kota,” katanya.