KEJAYAAN Manchester City mara ke separuh akhir Piala FA setelah menewaskan Everton 2-0 di Goodison Park pada awal pagi Ahad sebagai sesuatu yang lebih daripada luar biasa.
Pengendali City, Pep Guardiola berkata, kejayaan berkenaan nyata sungguh ‘memukau’ biarpun skuad kendaliannya dilihat bermula dengan agak perlahan musim ini.
Malah menurut Guardiola, sejak tewas kepada Tottenham Hotspur bagi saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) 21 November lalu, skuad The Citizens itu telah merekodkan 28 perlawanan tanpa kalah termasuk 21 kemenangan berturut-turut untuk muncul selaku pendahulu EPL sehingga ke hari ini.
"Kita perlu sentiasa ‘menyesuaikan’ diri dengan keadaan semasa. Lagi pun, setiap perlawanan adalah berbeza dan kami sebagai pengendali perlu tahu apa yang perlu dilakukan.
"Tetapi apabila kita memenangi banyak perlawanan seperti yang kita lakukan dalam tempoh empat bulan terdahulu adalah disebabkan kita berjaya menyesuaikan diri dan itulah yang melegakan saya.
"Lagi pun, ia bukan hanya mengenai taktikal tetapi juga melibatkan persediaan mental agar sentiasa bersedia untuk mengharungi setiap perlawanan,” katanya.
Pada perlawanan berkenaan, dua gol lewat daripada Ilkay Gundogan pada minit ke-84 dan Kevin De Bruyne (90) sudah memadai untuk mengesahkan kemaraaan City ke separuh akhir Piala FA, musim ini.
Sementara itu, Guardiola mahu setiap pemain City terus mengekalkan fokus untuk mengharungi baki saingan EPL dan juga saingan Piala FA kelak.
Katanya, biarpun pencapaian pasukan dilihat menakjubkan setakat ini, tetapi segalanya tidak akan bermakna sekiranya City gagal memenangi apa-apa gelaran kali ini.
"Kami akan terus kekal fokus bagi melihat sejauh mana kemaraan pasukan ini kerana kita masih belum memenangi apa-apa lagi setakat ini
"Sejujurnya sejak tempoh rehat yang terakhir empat bulan lalu, kita telah beraksi dalam 34 perlawanan dan kita juga pernah beraksi dalam keadaan musim sejuk, bermain tiga hari sekali; ia nyata menuntut komitmen yang tinggi dalam kalanan pemain,” katanya.