SEMENYIH - Barisan Nasional (BN) hari ini menamakan Pengerusi Tetap UMNO Cawangan Kampung Sesapan Kelubi, Zakaria Hanafi sebagai calon bagi PRK DUN Semenyih.
Calon BN itu diumumkan Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan di hadapan kira-kira 200 penyokong pada majlis pengumuman calon BN bagi PRK berkenaan di sini.
"BN menamakan calon tempatan kerana kami tidak mahu payung terjun atau orang luar untuk beri saingan pada PRK ini,” katanya dalam sidang media selepas pengumuman tersebut.
Zakaria, 58, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Pembangunan (Kepujian) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Antara yang hadir Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M. Saravanan, Naib Presiden MCA Senator Datuk Seri Ti Lian Ker dan Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan.
PRK Semenyih diadakan berikutan kematian penyandangnya Bakhtiar Mohd Nor, 57, yang merupakan Ketua Bersatu Bahagian Hulu Langat pada 11 Januari lepas akibat serangan jantung.
Penamaan calon PRK Semenyih ditetapkan Sabtu ini, manakala hari mengundi awal 26 Feb dan pengundian pada 2 Mac. - Bernama