KUANTAN - Batalion Pertama Rejimen 505 Askar Wataniah(AW) berperanan sebagai petugas barisan hadapan dalam membantu polis memantau kepatuhan orang ramai terhadap prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ketika ini.
Pegawai Memerintah Batalion Pertama Rejimen 505, Leftenan Kolonel Tengku Panglima Raja, Tengku Amer Nasser Ibrahim Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkata, peranan itu dimainkan pasukan Batalion Pertama melalui Ops Penawar yang dilaksanakan sejak 18 Mac tahun lalu.
Menurutnya, dalam suasana cabaran pandemik Covid-19 ketika ini, warga Batalion Pertama diharap dapat berperanan melalui pendekatan 'Military Operation Other Than War' sebagaimana tema sambutan Hari Tentera Darat Ke-88, Sinergi Tentera Darat dan Rakyat: Tunjang Kedaulatan Negara.
"Sebagaimana Perintah Ulung Panglima Tentera Darat Ke-28, Jeneral Datuk Zamrose Mohd Zain, warga Batalion Pertama juga disaran mempraktik tiga prinsip dan lima tonggak yang ditekankan.
"Tiga prinsip itu, laksanakan apa yang harus dilakukan, lakukan apa yang dikatakan akan dilaksanakan dan laksana perkara yang betul.
"Manakala lima tonggak itu, kelangsungan misi dan kesiapsiagaan, memperkasakan keutuhan organisasi, kelestarian kesejahteraan warga, pengukuhan perhubungan pertahanan dan peningkatan hubungan dengan awam,"katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Perasmian Perbarisan Pembukaan Latihan Tempatan 2021 Batalion Pertama, Rejimen 505 Askar Wataniah di Taman Gelora di sini pada Ahad.
Turut hadir, Timbalan Komander Rejimen 505, Leftenan Kolonel Azman Alias dan Penolong Pegawai Memerintah Batalion Pertama, Mejar Jasmi Sidek.
Tengku Amer Nasser berkata, peningkatan kerjaya juga perlu ditekankan warga batalion itu kerana aspek itu penting dalam memastikan ilmu ketenteraan terus dipertingkatkan dan mengilap bakat kepimpinan sedia ada.
Pada majlis itu, beliau turut menyempurnakan majlis pemakaian pangkat, penyampaian sijil penghargaan dan merasmikan Surau Hubbul Watan Kem Batalion Pertama Taman Gelora di sini.