SUNGAI SIPUT - Kepimpinan dan ahli di peringkat akar umbi tidak akan merestui 'hubungan sulit' UMNO dan Barisan Nasional (BN) dengan parti komponen Pakatan Harapan (PH) terutama DAP.
Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran berkata, walaupun hubungan kerjasama itu banyak diperkatakan pemimpin politik, pihaknya yakin pengundi menolak dan tidak akan memberikan sokongan sepertimana diharapkan.
Menurutnya, adalah sesuatu yang tidak munasabah untuk mana-mana pengundi UMNO memberikan undi mereka kepada DAP begitu juga ahli DAP yang perlu menyokong calon UMNO pada pilihan raya umum nanti.
"Walaupun kemungkinan ada pemimpin di belakang buat 'hubungan sulit', akar umbi tidak akan ikut.
"Mereka (UMNO dan DAP) sendiri tidak boleh nak pastikan bahawa akar umbi DAP undi pada UMNO, atau UMNO akan beri undi kepada DAP atau sebaliknya kepada Keadilan (Parti Keadilan Rakyat).
"Jadi saya percaya, walaupun ada hubungan sulit, hubungan itu tidak dapat dilangsungkan dan tidak akan dapat direalisasikan," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan bantuan kepada isi rumah berpendapatan rendah (B40) Parlimen Sungai Siput di Pusat Khidmat MIC Sungai Siput, di sini pada Ahad.
Beliau berkata, MIC tidak akan mencampuri urusan parti kompenan BN yang lain, namun sekiranya ia melibatkan hala tuju keseluruhan BN untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), maka UMNO wajar membuat pendirian hala tuju yang sebenar.
Katanya, pendirian MIC ketika ini adalah selari dengan ketetapan BN yang masih menyokong penubuhan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
"Pendirian BN ini kadang-kadang berbeza dengan pendirian UMNO, contohnya hubungan mereka dengan Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia), perkara yang berlaku (putuskan kerjasama) itu bukan hanya sekadar isu pembahagian kerusi, ia lebih kepada pendirian.
"Mereka ada alasan sendiri yang munasabah kerana itu ambil keputusan sedemikian, 'when there is a doubt, we just leaving it out, let them sort out their own issue'," katanya.
Vigneswaran berkata demikian ketika diminta mengulas spekulasi kerjasama UMNO dengan DAP-PH yang dilaporkan media sejak kebelakangan ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Masih terlalu awal tentukan kerjasama PKR-UMNO: Anwar